akademia

Pendapatan tanpa sempadan

Oleh Suliati Asri

KEBERGANTUNGAN masyarakat dunia terhadap Internet yang semakin memuncak terutama ketika pandemik Covid-19, membuka peluang terhadap kerjaya pembangunan kandungan (content developer) yang boleh diceburi semua golongan.

Mana tidaknya, dengan pergerakan dan aktiviti yang terbatas, Internet bagaikan nadi kehidupan bukan saja untuk mencari hiburan dan informasi terkini tetapi juga untuk pembelajaran.

Dalam erti kata lain, pandemik ini mempercepatkan pertumbuhan kandungan digital sebagai sumber hiburan, informasi dan ilmu global di samping menjadi jalur kerjaya yang menjanjikan peluang pendapatan begitu lumayan berbanding titik peluh yang jatuh.

Namun, kandungan digital berkualiti masih agak sukar untuk diperoleh.

Oleh itu, mahasiswa boleh meneroka bidang pembangunan kandungan digital ini yang bukan saja memberikan pendapatan sampingan tetapi kerjaya di masa depan yang semakin meluas terutama di era Revolusi Industri 4.0.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, peluang menjadi pembangun kandungan sememangnya terbuka luas untuk mahasiswa terutama dengan pembangunan kandungan digital yang lebih mudah, gajet murah dan akses Internet sepanjang hari.

Menurutnya, terdapat banyak cabang kandungan digital boleh diceburi mahasiswa antaranya animasi, media grafik, media video, realiti maya (VR), teknologi bots dan banyak lagi.

"Pembangunan kandungan ini tidak seperti kemahiran ilmiah kompleks yang memerlukan latihan bertahun dan pendedahan sub-kepakaran tambahan sebaliknya hanya perlu belajar dan mengadaptasi ilmu serta kemahiran digital.

"Paling penting, mahasiswa perlu tahu kandungan dan bahan teknologi digital yang diinginkan masyarakat kerana mereka sedia membayar untuk melihat, mendengar atau memiliki kandungan digital yang disukai," katanya.

Menurut Dr Airil yang juga Penasihat Adjung Teknologi Masa Depan di Universiti Auckland, New Zealand dengan keadaan ekonomi dunia yang masih tidak stabil disebabkan pandemik Covid-19, mencari pekerjaan selepas menamatkan pengajian sememangnya cukup mencabar.

"Tidak ramai mahasiswa yang berminat atau mampu menjadi pekebun dan penternak moden, tetapi di dunia digital tidak ada had untuk mereka menyerlahkan kreativiti serta membangunkan kandungan berkualiti.

"Mereka hanya perlu meneroka hobi dan kecenderungan dari bakat yang sedia ada. Tapi ia perlu diiringi dengan ilmu menggunakan perisian dan aplikasi komputer yang berkaitan dengan kandungan mereka.

"Memanfaatkan kandungan video 'how to' di saluran Youtube juga boleh dijadikan sumber rujukan sekali gus dapat meningkatkan kemahiran digital mereka," katanya.

Menariknya mengenai pembangunan kandungan ini, ia bukan saja boleh dijadikan kerjaya di masa hadapan tetapi 'lubuk' duit bagi mahasiswa yang ingin memperoleh pendapatan sampingan.

Dr Airil berkata, hebatnya kandungan digital terutama video, membolehkan mahasiswa boleh mendapat pendapatan pasif hasil tontonan umum.

"Lebih ramai menonton kandungan berkualiti yang dikongsi, semakin tinggi pendapatan yang diperoleh untuk bulan berkenaan.

"Untuk golongan muda pula, pelbagai isu, topik dan 'niche area' yang boleh diketengahkan sebagai kandungan digital berkualiti.

"Pembangun kandungan media grafik juga mempunyai banyak kelebihan di mana mereka boleh menggunakan daya kreativiti menghasilkan bermacam produk untuk dijual kepada umum," katanya.

Dalam pembangunan kandungan terutama video, hobi menukar-tambah aksesori basikal, motosikal atau kereta sudah cukup untuk menarik minat penonton di YouTube.

Malah, ilmu memperbaiki kenderaan yang divideokan juga pasti boleh dikongsi demi manfaat semua.

"Terlalu banyak ruang dan peluang yang boleh diteroka menerusi pembangun kandungan dalam kalangan mahasiswa Malaysia.

"Justeru, mereka perlu bijak untuk merebut peluang yang sudah terbentang luas ini.

"Bagaimanapun, mendapatkan perlindungan hak cipta bahan digital yang di bangunkan mahasiswa termasuk grafik, video, audio atau apa saja adalah penting," katanya.

Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Rekaseni Grafik UiTM Seri Iskandar, Shuhufan Mohd Shukardi, 23, berkata pembangunan kandungan ini bukan saja memberikan pendapatan serta peluang kerjaya yang meluas tetapi mewujudkan hubungan dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, menerusi perkongsian hasil karya di media sosial, kita tidak tahu siapa yang melihat dan meminati karya kita.

"Saya sangat minat melukis sejak di sekolah menengah dan mula memuat naik karya yang lebih kepada ilustrasi dan seni digital di Twitter dan Instagram secara aktif lima tahun lepas.

"Malah saya tidak menyangka perkongsian atas dasar suka-suka, ramai yang minat dengan ilustrasi digital yang dimuat naik dan mahu menyimpan lukisan. Tidak kurang juga yang ingin membuat tempahan lukisan khas untuk mereka sekali gus menjadi sumber pendapatan walaupun masuk belajar," katanya yang sudah menghasilkan lebih 100 karya digital.

Sebagai pembangun kandungan digital, Shuhufan berharap agar masyarakat terutama mahasiswa di luar sana tidak malu untuk berkongsi kandung digital yang berkualiti terhadap khalayak.

"Jangan pernah malu untuk berkarya kerana kita tidak tahu siapa yang akan melihat hasil seni kita.

"Selain itu, sentiasa dapatkan maklum balas dari pengikut kita supaya kita boleh terus menghasilkan karya yang terbaik," katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 2:40pm
d