akademia

Pupuk semangat patriotisme

Oleh Suliati Asri

BERINSPIRASIKAN Hari Malaysia dan dalam usaha untuk memupuk semangat patriotisme serta sukarelawan dalam kalangan komunitinya, Universiti Tun Abdul RAZAK (UNIRAZAK) menerusi Majlis Perwakilan Pelajarnya (UR SRC), melancarkan Kempen #URPRIHATIN.

Kempen yang diadakan hasil gabungan beberapa pertubuhan pelajar iaitu Bank Rakyat School of Business and Enterpreneurship Student Society (BRSBESS), UNIRAZAK Indian Club (UIC) dan UNIRAZAK Professional Accounting Club (UPAC) turut membabitkan kerjasama Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) dan Kelab Gemilang.

Timbalan Naib Canselor UNIRAZAK Profesor Zulkiflee Mohamed percaya sebagai institusi pendidikan yang maju terutama dalam dunia pendidikan yang semakin canggih, kolaborasi UNIRAZAK dengan YPNM dan Kelab Gemilang ini satu langkah baik.

Katanya, UNIRAZAK sentiasa mengalu-alukan kerjasama antara organisasi yang berkongsi matlamat dan misi bagi memberi pengalaman pembelajaran baharu kepada pelajar seterusnya membentuk mereka menjadi insan yang berjaya serta berkualiti tinggi untuk negara.

"Antara misi sebagai pendidik di UNIRAZAK, kami bukan saja mendidik pelajar menjadi graduan yang berkelulusan dan meningkatkan kebolehpasaran, tetapi ingin melahirkan 'wholesome graduates,' graduan yang bukan saja mempunyai kelayakan, tetapi juga berkeperibadian positif.

"Misi ini selaras dengan nilai-nilai teras UNIRAZAK iaitu H.E.R.O.E.S (Humility, Empathy, Resilience, Organised, Enterprising dan Sagacious).

"Justeru, kami percaya apabila pelajar itu berjaya dibentuk menjadi seorang yang 'wholesome graduate,' impaknya pada masyarakat dan negara akan positif," katanya pada majlis pelancaran kempen #URPRIHATIN.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YPNM Mohd Al-Iman Zakaria, Pengasas Kelab Gemilang Na'im Brundage dan Ketua Pegawai Eksekutif Hal Ehwal Pelajar dan Pengarah, Pusat Pembelajaran Umum UNIRAZAK, Asst Profesor Dr Zuhaili Akmal Ismail.

Menurut Profesor Zulkiflee, UNIRAZAK bangga menjadi universiti swasta pertama yang bekerjasama dengan YPNM dan Kelab Gemilang bagi memperkasa subjek Volunteerism yang diwajibkan bagi setiap pelajar tahun pertama universiti itu.

Katanya, itu antara keunikan pihaknya dalam menyampaikan ilmu dan mendidik pelajar supaya menjadi graduan terbaik.

"Dengan membina jalinan yang lebih kukuh dan bergerak bersama secara strategik, Insya-Allah kami dapat melahirkan warga Malaysia yang berkualiti bukan saja dari segi ilmiah, tetapi juga sahsiah.

"Ini harapan kami di UNIRAZAK," katanya.

Sempena kempen ini juga, seramai 70 peserta dari YPNM, Kelab Gemilang bersama pelajar UNIRAZAK turut sama dalam beberapa aktiviti bertemakan patriotisme seperti kuiz dan permainan tradisional.

Selaras tema 'prihatin' juga, program menderma darah yang dianjurkan Pusat Darah Negara turut diadakan pada acara terbabit.

Pertandingan atas talian juga turut dijalankan dalam laman media sosial UNIRAZAK sebagai langkah menarik lebih ramai belia memahami ideologi #MalaysiaPrihatin.

Hadiah wang tunai turut diberikan kepada pemenang yang menghasilkan video TikTok yang kreatif.

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 6:35am
d