akademia

Kisah inspirasi tingkat potensi diri

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Yayasan Sime Darby (YSD) terus memberi komitmen untuk mewujudkan peluang pendidikan sama rata di Malaysia dengan menganugerahkan sebanyak 560 biasiswa dan bursari bernilai RM25 juta bagi tahun 2020/2021.

Untuk kumpulan pertama, seramai 121 pelajar dipilih menerima biasiswa dan bursari berjumlah RM10 juta.

Majlis penganugerahan biasiswa berkenaan diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby, baru-baru ini dan dihadiri Pengerusi YSD, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar serta Ahli Dewan Negara, Senator Ras Adiba Radzi.

Menerusi tema Meraikan Kepelbagaian Penerima Biasiswa, yayasan itu meraikan individu cemerlang dari pelbagai latar belakang sosioekonomi dan etnik termasuk 11 pelajar kurang upaya.

Penerima biasiswa dan bursari berkenaan akan melanjutkan pengajian tinggi di universiti terkemuka tempatan, United Kingdom, China dan Papua New Guinea.

Tunku Imran dalam ucapannya berkata, sebanyak 88 peratus penerima biasiswa dan bursari berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan bantuan itu adalah untuk memastikan mereka mendapat akses pendidikan yang berkualiti.

Beliau turut berkongsi kisah inspirasi dua penerima biasiswa iaitu Gowri K Marappan dan Mohd Farhan Bryan.

Kata beliau, Gowri adalah penerima bursari keperluan khas YSD yang kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Putra Malaysia manakala Mohd Farhan, selaku penerima biasiswa kecemerlangan yayasan itu kini melanjutkan pengajian di dalam program Cambridge A-level di Kolej Yayasan UEM selama dua tahun sebelum menyambung pengajiannya ke peringkat ijazah pertama di universiti terkemuka dunia.

"Saya mempunyai harapan tinggi supaya Gowri, Farhan dan semua penerima biasiswa dapat memaksimumkan potensi mereka dengan peluang yang diberikan untuk masa depan yang lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, Ras Adiba turut menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima biasiswa daripada golongan kelainan upaya termasuk penerima Anugerah Pengerusi YSD iaitu Amirul Hakim Noor Haizat yang baharu sahaja menamatkan pengajian Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Oxford dan penerima 'Anugerah Inspirasi YSD' iaitu Joel Koikata, graduan UKM yang berasal dari Papua New Guinea.

Pada majlis yang sama, bekas penerima biasiswa yayasan itu yang juga aktivis belia bagi Persatuan Penyakit Jarang Jumpa Malaysia (MRDS), Nadeera K Vasu turut berkongsi pengalaman dan perjalanan peribadi dalam usaha untuk memperkasa penerima biasiswa yayasan itu yang baharu serta masyarakat secara amnya.

Kata Nadeera, dia menamatkan pengajian sekolah menengah dengan keputusan yang cemerlang dan menerima anugerah pelajar terbaik orang kelainan upaya (OKU) peringkat negeri Johor.

Katanya, selepas itu dia meneruskan pengajian di dalam Ijazah Psikologi di Universiti Nottingham yang mana dia turut menerima biasiswa di tahun akhir daripada yayasan berkenaan bagi kategori Bursari Keperluan Khas.

"Kelainan upaya tidak seharusnya menghalang sesiapa daripada mencapai matlamat yang tinggi dan saya bersyukur kerana diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YSD atas sokongan yang diberikan selama ini.

"Malah saya percaya bahawa semua orang harus mempunyai impian yang besar, mengenal potensi masing-masing dan sentiasa berusaha untuk menghadapi cabaran walau apa jua rintangan menimpa di samping menjaga kesihatan mental," katanya.

Sejak penubuhannya, YSD yang juga yayasan korporat bagi Sime Darby Plantation Berhad, Sime Darby Berhad dan Sime Darby Property Berhad sentiasa mengutamakan pendidikan.

Menerusi program biasiswa dan bursari, yayasan itu memberi manfaat kepada 4,581 pelajar dengan peluang untuk mengejar impian akademik mereka.

Sementara itu, menerusi pelancaran Program Pengayaan Kemahiran Januari lalu, yayasan itu turut menganugerahkan bursari kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk melanjutkan pengajian diploma serta kursus profesional di pelbagai cawangan politeknik dan pusat kemahiran swasta di seluruh negara.

Yayasan juga merancang untuk menganugerahkan seramai 420 lagi bursari TVET bernilai RM14 juta bermula November ini dengan sokongan Kementerian Pendidikan serta rakan kongsi TVET.

YSD juga akan membuka aplikasi untuk program biasiswa dan bantuan secara rasmi pada bulan Mac tahun depan.

Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 6:35am
d