akademia

Lahir tenaga mahir Farmaseutikal

Oleh Suliati Asri

BIDANG teknologi farmaseutikal adalah kerjaya yang mendapat permintaan tertinggi majikan dalam sektor kerajaan mahupun swasta sebagai tenaga mahir.

Sumbangan profesyen itu juga penting dalam usaha memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kosmetik yang lebih baik serta melengkapi perkembangan pesat industri pembuatan.

Oleh itu, Management & Science University (MSU) melalui School of Pharmacy (SPH) menawarkan peluang menyambung pengajian dalam Bachelor of Science in Pharmaceutical Technology dengan jangkamasa pengajian selama tiga tahun enam bulan.

Kelayakan kemasukan program itu adalah Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), matrikulasi atau diploma dalam bidang sains serta berkaitan.

Program ini memfokuskan kepada penghasilan perubatan tradisional dan moden merangkumi produk farmaseutikal serta nutraseutikal selain menitikberatkan elemen Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Pelajar juga didedahkan dengan aspek teori dan amali berhubung ilmu kejuruteraan farmasi, teknologi dalam pembuatan perubatan serta keusahawanan dengan menyeluruh.

Selain itu, program ini turut memberikan pendedahan kepada pelajar dari proses pembangunan produk, pembungkusan, kawalan kualiti, pengilangan dan pengurusan makmal, pengurusan pengedaran stok produk serta reka bentuk proses kerja.

Dengan kemudahan prasarana lengkap, pelajar bukan saja belajar dalam suasana kondusif tapi juga merasai suasana sebenar dunia kerjaya dengan kerjasama industri.

Manakala jaringan kerjasama MSU dengan rakan universiti di seluruh dunia adalah opsyen terbaik pelajar untuk mendapat pendedahan global yang seterusnya memperkasakan pengalaman pembelajaran mereka.

MSU menjalin kerjasama pintar dengan lebih 1,700 rakan industri melalui University Industry Advisory Panel (UIAP) sekali gus memberikan jaminan kerjaya kepada pelajar sebaik menamatkan pengajian.

Kajian Pengesanan Graduan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) menyaksikan kebolehpasaran graduan MSU berada pada tahap 98.7 peratus dan merupakan tertinggi di kalangan institusi pendidikan tinggi di Malaysia.

Selain program Teknologi Farmaseutikal, School of Pharmacy turut menawarkan program ijazah sarjana muda dan diploma dalam bidang pengkhususan seperti Farmasi dan Perubatan Tradisional Cina.

Disiarkan pada: November 9, 2020 @ 6:20am
d