akademia

Tingkat pendidikan sivik

Oleh Suliati Asri

UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (Usim), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur menerusi projek usaha sama strategik menganjurkan program Youth, Foresight and Civics Education (VALUES2021).

Program VALUES2021 ini bertujuan memberikan pendedahan ilmu dan kemahiran kepada belia berkaitan pendidikan sivik, kepemimpinan, kesukarelawanan, literasi kewangan dan literasi pemikiran masa hadapan (futures thinking).

Bertemakan Penerapan Nilai Sivik dalam Pembentukan Insan Seimbang, program VALUES 2021 yang berlangsung selama setahun bermula Januari lalu sehingga Disember ini dirasmikan secara maya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri.

Turut hadir Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Brian D McFeeter dan Naib Canselor Usim, Profesor Datuk Dr Mohamed Ridza Wahidin.

Program VALUES2021 ini merangkumi siri-siri latihan kepada belia di sekolah dalam lingkungan umur 16 hingga 25 tahun diterajui barisan ahli projek yang terdiri daripada kalangan pensyarah Usim yang turut membabitkan pakar-pakar daripada dalam dan luar Usim berkaitan isu pendidikan sivik, kepemimpinan, kesukarelawanan, literasi kewangan dan literasi pemikiran masa hadapan.

Pada masa sama, program ini juga akan membabitkan sekolah sebagai Sekolah Rakan VALUES 2021 dan penyertaan ini terbuka kepada sekolah-sekolah terutama sekolah agama kerajaan, kerajaan negeri atau swasta di luar bandar yang berminat.

Ketua Projek VALUES 2021 Dr Norfadhilah Mohamad Ali berkata, objektif utama program VALUES 2021 ini adalah membentuk modul khusus dan latihan kepada belia mengenai kepentingan kesedaran sivik dalam hidup bermasyarakat, latihan kepemimpinan, kesukarelawanan, literasi kewangan dan literasi pemikiran masa hadapan (futures thinking).

Menurutnya, Usim berperanan membangunkan modul ini dan memberikan latihan kepada belia dengan menerapkan sudut pandang Islam berdasarkan konteks dan kesesuaian masyarakat Malaysia serta global.

"Program ini memberi keutamaan kepada belia dan sekolah-sekolah dari luar bandar supaya dapat turut serta memanfaatkan peluang latihan ini.

"Diharapkan program ini dapat menyumbang ke arah pembentukan belia yang berupaya memainkan peranan dalam masyarakat dengan baik, mempunyai pendedahan kepada perkembangan sekeliling dan dunia luar, selesa dalam kepelbagaian budaya serta berpotensi memimpin dalam apa juga bidang yang diceburi," katanya.

Dr Norfadhilah berkata, program ini juga ingin membimbing belia pengaruh fahaman yang bertentangan dengan keamanan, kebaikan sejagat dan keharmonian.

"Selain itu, program ini menyasarkan supaya kaedah 'futures thinking' yang digunakan dalam latihan VALUES 2021 dapat disebar luas sebagai satu literasi penting pada abad ini, sebagaimana yang diisytiharkan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)," tambahnya yang juga pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang Usim.

Disiarkan pada: May 17, 2021 @ 6:37am
d