akademia

Webinar beri ruang generasi muda kenali manuskrip Melayu

Oleh HM Digital

BAGI membuka mata generasi kini dalam mengenali manuskrip Melayu yang semakin dilupakan, mahasiswa BBK3311 Kesusasteraan Epik dan Historiografi Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) buat julung kalinya mengadakan program Webinar Antarabangsa Bicara Manuskrip Melayu.

Webinar yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Karyawan dan Kelab Bahasa, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hulu Kelang ini turut menampilkan penceramah yang juga Ketua Kurator koleksi Asia Tenggara Perpustakaan British, London Datuk Dr Annabel Teh Gallop FBA.

Diadakan secara langsung di Zoom dan Facebook FBMK, webinar ini turut mendapat bimbingan daripada Ketua Jabatan Bahasa Melayu FBMK UPM, Profesor Madya Dr Salmah Jan Noor Muhammad.

Menurut Dr Salmah Jan, manuskrip Melayu ini bukan saja mengandungi sejarah bangsa, malah menjunjung tulisan Jawi yang pernah mendominasi alam Melayu suatu ketika dahulu.

"Secara tidak langsung, pemaparan grafik manuskrip lama oleh penceramah mengimbau kembali zaman kegemilangan Melayu," katanya.

Menurutnya, pencinta manuskrip masih gagah bersuara mengenai khazanah ini, tetapi generasi kini kurang didedahkan dengan peninggalan ini.

"Maka program yang diadakan secara terbuka kepada semua peringkat umur ini berjaya mengetengahkan semula manuskrip Melayu.

"Boleh dikatakan webinar ini berjaya memperkenalkan manuskrip kepada pelbagai peringkat umur dan bidang melalui pembabitan pelajar dari SMK Hulu Kelang dan mahasiswa universiti dalam pelbagai bidang," katanya.

Program webinar ini turut menerima penyertaan daripada Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Webinar yang berlangsung dari jam 3 petang itu juga berjaya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta seantero dunia termasuk Bunei, Indonesia, Jerman dan Afrika.

Hal ini menunjukkan bahawa terdapat ramai pencinta manuskrip Melayu dari negara luar yang begitu berminat dengan khazanah bangsa Melayu.

Kejayaan webinar ini juga tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan daripada penonton yang memberikan reaksi positif di ruangan komen Zoom dan Facebook.

Bagi penasihat Kelab Bahasa SMK Hulu Kelang, Noraza Aziz, sambutan positif penonton memperlihatkan sokongan baik diberikan kepada Webinar Antarabangsa Bicara Manuskrip Melayu ini.

Penonton memenuhkan ruang komen dengan soalan mengenai pembentangan Seni Khat Beriluminasi pada Manuskrip Mushaf Al-Qur'an Pantai Timur Semenanjung: Pengaruh Luas Gaya Patani oleh Dr Annabel.

Sementara itu, Menurut Dr Annabel, gaya penulisan dan struktur mushaf gaya Terengganu dan gaya Patani serta kaligrafi, ada pada mushaf al-Quran.

"Menariknya hasil kajian mendapati bahawa seni atau gaya Terengganu dikatakan lebih bagus dan tinggi nilai seninya dalam semua aspek berbanding gaya Patani," katanya.

Kefasihan Dr Annabel berbahasa Melayu juga menambat hati penonton sehingga mereka menyuarakan rasa kagum pada ruangan komen, sekali gus memperlihatkan banyak pihak di luar yang berusaha menguasai bahasa Melayu.

Malah, sejarah tidak lekang menyatakan, ketinggian bahasa Melayu sebagai lingua franca.

Disiarkan pada: May 31, 2021 @ 6:35am
d