akademia

Bantu calon UPKK

Oleh Suliati Asri

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia menyebabkan kerajaan Malaysia sekali lagi melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

Justeru, bagi membantu calon Ujian Penilaian Kelas Agama dan Fardu Ain (UPKK) 2021, Hatimurni Islamic Private Education (Hatimurni) mengambil inisiatif menganjurkan program Bootcamp Maya 2.0.

Menerusi program kali kedua yang diadakan tahun ini, Hatimurni menyediakan landasan kepada pelajar untuk mendapatkan tip skor A di dalam subjek UPKK yang dilihat sangat bertepatan dengan situasi terkini supaya anak-anak tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ustazah Siti Khadijah Mohni berkata, objektif Bootcamp Maya 2.0 UPKK 2021 ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar supaya cakna akan cara untuk skor A dengan mudah bagi setiap subjek yang diambil.

Selain itu, menurutnya pelajar akan dibimbing agar mahir jawi memandangkan soalan peperiksaan adalah di dalam tulisan jawi.

"Untuk Bootcamp 2.0 ini, kami membariskan guru berpengalaman seperti Ustaz Norhisham Hamzah, Motivator Aku Pelajar Skor A (Adab, Akhlak & Akademik), Ustazah Dayangku Masherah Pengiran Borhanuddin Panel Penulisan Jawi, Ustazah Siti Hasliza Abdul Razak; Panel Bahasa Arab & Ibadah dan Ustaz Muhamad Hanafi Mohamad Zaidi; Panel Sirah dan Akidah untuk membimbing pelajar.

"Mereka adalah pakar kerana dilantik menjadi penggubal soalan peperiksaan dan penanda kertas jawapan peperiksaan," katanya.

Menurutnya, Program Bootcamp Maya 2.0 dengan penyertaan seramai 400 pelajar dilihat sebagai perkembangan positif dalam medium pembelajaran online sekali gus pihaknya komited untuk membantu pelajar mendapat keputusan cemerlang di dalam UPKK.

"Kepada pelajar yang tidak dapat menyertai kerana kuota sudah penuh, Insya-Allah kita akan bertemu di Bootcamp 3.0 nanti."

"Saya juga teruja apabila melihat ibu bapa memberi kerjasama penuh di mana mereka memberi sokongan padu kepada anak-anak belajar secara dalam talian.

"Dapat kita lihat dengan jelas bahawa ibu bapa sentiasa mengambil serius terhadap pembelajaran anak-anak," katanya.

Selain Kuala Lumpur dan Selangor, program yang berlangsung selama dua hari itu turut menerima penyertaan pelajar dari seluruh Semenanjung dan Sarawak.

Program dua hari ini juga secara tidak langsung membantu pelajar supaya lebih taktikal untuk menjawab soalan UPKK dan mempelajari teknik untuk skor A bagi setiap subjek yang diambil.

Disiarkan pada: June 14, 2021 @ 6:45am
d