akademia

Manifestasi jaringan mesra

Oleh Suliati Asri

SERAMAI 100 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima bantuan komputer riba sumbangan Kumpulan FGV Holdings Berhad dengan kerjasama Muslim Care Malaysia sebagai memenuhi tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Modal Insan, Kumpulan FGV Holdings Berhad, Razman Radzi menyerahkan cek replika Projek Untukmu Siswa UMP (Bantuan Komputer Riba) berjumlah RM324,900 kepada Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan disaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin.

Menurut Dr Yuserrie, program ini adalah manifestasi jaringan kerjasama yang mesra lagi erat antara universiti ini khususnya dengan Kumpulan FGV Holdings Berhad dan Muslim Care Malaysia yang dilihat sebagai potensi untuk meneroka kerjasama strategik dari perspektif lebih luas dan berimpak tinggi.

"Mahasiswa menerima sumbangan berupa komputer riba sebanyak 100 unit terutama dalam kalangan yang berkeperluan.

"Mereka yang terpilih sudah menjalani proses saringan dan temu bual pihak fakulti sendiri dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni," katanya dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak UMP Pekan.

Dr Yuserrie berkata, UMP sentiasa memberi tumpuan terhadap aspek kebajikan dan antara inisiatif yang diperkenalkan menerusi Yayasan UMP termasuk bantuan zakat, bantuan khairat kematian pelajar, bantuan musibah, Skim Pelajar Bekerja, bantuan awal pengajian, insentif pendidikan dan lain-lain.

Menurutnya, melalui inisiatif itu lebih 1,500 mahasiswa sudah menerima manfaat sehingga Disember tahun lalu.

"Saya berharap mahasiswa memanfaatkan bantuan komputer riba dan kemudahan kebajikan yang diberikan ini bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran sepanjang kehidupan bergelar mahasiswa universiti.

"Nasihat saya buat semua mahasiswa supaya terus berkhidmat dan menyumbang jasa kepada negara serta komuniti apabila bergelar graduan kelak," katanya.

Sementara itu, Zulkifli gembira dengan perkongsian strategik ini kerana ia bertepatan dengan misi MCM iaitu untuk membebaskan manusia daripada kejahilan, kemiskinan dan kemusnahan melalui usaha intervensi yang menyeluruh.

"Oleh itu, saya berharap kerjasama ini berterusan," katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2023 @ 6:57am
d