akademia

Manfaat besar program FSTP UPNM & SK Paroi

Oleh Suliati Asri

SEMANGAT kesukarelawan dan komitmen membangunkan masyarakat yang lebih baik serta berempati dizahirkan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Program Pemindahan Ilmu (KTP) anjuran Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan (FSTP), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Paroi, Seremban, Negeri Sembilan.

Memastikan keselesaan dan keperluan murid terjaga aspek penting dalam usaha melahirkan generasi cemerlang menjadi fokus utama dalam usaha kerjasama itu.

Dirasmikan Dekan FSTP Lt Kdr Profesor Madya Dr Mohd Norsyarizad Razali TLDM (Bersara), program ini menandakan bermulanya langkah pertama dalam perjalanan mencipta transformasi positif melalui pendekatan inovatif ini.

"Segala usaha dan sokongan pelbagai pihak dalam pelaksanaan Program CSR dan KTP ini langkah positif dalam menuju pembentukan masyarakat lebih baik," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Paroi, Zanariah percaya kerjasama antara SK Paroi dan FSTP, UPNM ini memberi manfaat jangka panjang kepada kesejahteraan murid.

"Program ini dapat memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan generasi akan datang," katanya.

Malah, program ini mendapat sokongan syarikat korporat dan individu dalam membantu menambah baik prasarana sekolah antaranya UPNM Holding Sdn Bhd, Creative World Industries Sdn Bhd dan 10 Creative Solutions Sdn Bhd.

Program CSR dan KTP ini membabitkan gotong-royong Perdana SK Paroi yang membabitkan warga sekolah, Pasukan Sukarelawan Siswa Madani UPNM serta pensyarah dan staf UPNM.

Selain itu aktiviti lain adalah KTP Ikhtiar Hidup 1 yang membabitkan aktiviti pemasangan khemah dan memasak ketika berkhemah, manakala KTP Matematik untuk pelajar tahun enam adalah aktiviti berbentuk permainan dalam aspek nombor dan kognitif.

Turut diadakan adalah program motivasi yang dianjurkan bertujuan untuk membantu murid memahami matlamat hidup dan membina keyakinan dalam diri mereka sendiri.

Selain itu, menerusi KTP Ikhtiar Hidup 2, peserta melalui pengalaman ketenteraan dalam usaha pembangunan keterampilan diri dan kepemimpinan murid.

Disiarkan pada: October 2, 2023 @ 6:21am
d