akademia

KPTMSB tunai zakat

Oleh Suliati Asri

Kolej oly-Tech MARA Sdn Bhd (KPTMSB) memberi sumbangan zakat berjumlah RM430,000 yang membabitkan penerima daripada asnaf staf dan pelajar serta pusat tahfiz.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM350,000 diberikan kepada asnaf pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM).

Manakala sebanyak RM25,000 sumbangan zakat kepada golongan asnaf staf, RM10,000 kepada Maahad Tahfiz Maubul Huffaz dan sumbangan Foodbank daripada Plus berjumlah RM45,000.

Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA Sdn Bhd, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berkata, sumbangan zakat yang disampaikan pada Majlis Ihya' Ramadan KPTM 2024 menjadi tanda KPTMSB tidak pernah melupakan menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

"Semoga dengan penyampaian sumbangan ini dapat mengingatkan diri kita bahawa Ramadan bukan hanya berkenaan puasa dan berbuka, tetapi juga mengenai memberi, berkongsi dan mengasihi," katanya.

Bagi presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Nurul Ain Kamaruzaman pula, pemberian sumbangan kepada pelajar asnaf itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban pelajar.

Katanya, dengan kedudukan UPTM yang terletak di tengah bandar, elaun yang diterima pelajar sebenarnya cukup-cukup makan saja untuk menampung perbelanjaan mereka.

"Jadi, dengan adanya bantuan ini ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka meneruskan pelajaran sekali gus tidak perlu melakukan kerja sambilan," katanya.

Nurul Ain berkata, selain sumbangan yang diberikan secara terus kepada pelajar asnaf di UPTM, barisanMPP juga mengambil inisiatif menyediakan 'foodbank' yang dipanggil Rahmah Center.

"Food Bank ini membolehkan pelajar asnaf mengambil barangan keperluan asas seperti beras, kicap, telur, sardin dan sebagainya.

"Di bulan Ramadan ini, MPP UPTM juga memberikan bantuan khas iaitu penyediaan makanan berbuka dan bersahur setiap hari kepada pelajar asnaf," katanya.

Sementara itu, Presiden MPP Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, Nur Alia Husna Abdul 'Ati berterima kasih kepada pihak KPTMSB di atas sumbangan zakat yang diberikan kepada pelajar asnaf.

"Inisiatif yang dilakukan KPTM ini sangat bagus.Dengan pemberian sumbangan zakat kepada pelajar ini juga secara tidak langsung membuka mata ramai orang untuk turut menyumbang kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2024 @ 6:11am
d