arena

Padah lalai minit akhir

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Biarpun Johor Darul Ta’zim (Johor DT) kekal di tangga teratas liga selepas seri 1-1 dengan Melaka United pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, kelmarin, namun ada kerisauan di raut wajah pengendalinya Benjamin Mora.

Mora menegaskan kealpaan pada minit terakhir perlawanan masih belum dapat dihakis biarpun mendahului lawan selepas Melaka bangkit menyamakan gol ketika aksi berbaki tiga minit.

Katanya, situasi itu berulang ketika menentang Pahang pada suku akhir kedua Piala FA yang menyebabkan Johor DT disekat daripada mara ke separuh akhir apabila gol pada minit terakhir melenyapkan impian mempertahankan piala itu.

“Kami sepatutnya membawa pulang tiga mata tapi akibat keletihan dan tidak memberi sepenuh tumpuan pada minit terakhir perlawanan membolehkan Melaka menjaringkan gol penyamaan dan hanya berpuas hati dengan satu mata.

“Saya perlu menganalisis lebih mendalam bagaimanapun ia terjadi dan perlu memperkemaskan lagi corak taktikal bagi mengelak perkara itu berulang kerana agak malang jika bayangan tiga mata sudah di depan mata tapi lenyap begitu saja.

“Apa pun saya tidak salahkan mana-mana pemain dan semua itu terjadi berpunca daripada faktor tidak memberi tumpuan dan tugas saya lebih terarah meningkatkan lagi kualiti permainan supaya konsisten sepanjang 90 minit,” katanya.

Mora juga menjelaskan Hazwan Bakri tampak sudah menemui rentak permainan selepas hampir tiga minggu tidak beraksi akibat kecederaan dan kini mula mempamerkan aksi konsisten pada perlawanan menentang Melaka, kelmarin.

Menurutnya, pemain itu mempamerkan komitmen tinggi pada aksi itu walaupun tidak berada dalam kedaaan 100 peratus seperti yang disasarkan tetapi tetap pamer kesungguhan dan beraksi secara berpasukan dengan masing-masing memainkan peranan.

“Saya tidak dapat turunkan Gonzalo Cabrera yang belum cergas kerana kecederaan namun kelibat Safawi Rashid pada aksi itu tampak mampu memberi tekanan kepada lawan dan corak permainan Dominic Tan juga konsisten dan ia perkembangan terbaik kerana kedua-dua pemain itu pemain muda,” kata Mora.

Disiarkan pada: May 8, 2017 @ 10:54am
d