arena

Hafizh kecewa

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Langsung tiada cengkaman di bahagian tayar jelas mengecewakan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang menamatkan perlumbaan di tempat-13 dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix Sepanyol di Litar Jerez, semalam.

Hafizh yang mewakili PETRONAS Raceline Malaysia dan meraih tiga mata, mengakui tidak mampu untuk mengerah jentera ke tahap maksimum seperti yang diinginkannya.

“Secara keseluruhan pelarasan jentera semuanya baik kerana kami berjaya mempertingkatkan kemampuannya berbanding sesi pemanas badan di sebelah pagi. Bagaimanapun, tiada cengkaman langsung (tayar) ketika perlumbaan. Saya hanya menunggang setakat mana yang mampu untuk menamatkan perlumbaan pada kedudukan paling baik,” katanya semalam.

Perlumbaan semalam dimenangi adik pelumba MotoGP Marc Marquez, Alex Marquez selepas terlebih dulu melintasi garisan penamat dengan catatan 43 minit 24.350 saat, mengatasi Francesco Bagnaia dan tempat ketiga diraih Miguel Oliveira.

Hafizh kini menduduki tangga ke-13 keseluruhan selepas mengumpul 14 mata, manakala Franco Morbidelli unggul di tangga teratas dengan 75 mata diikuti Thomas Luthi 64 dan Oliveira 59.

Seorang lagi pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi terlepas peluang untuk meraih mata sulung apabila terjatuh di pusingan ke-13 ketika menduduki tempat ke-12.

Sementara itu dalam saingan Moto3, pelumba negara Adam Norrodin dari SIC Racing Team tidak berjaya menamatkan perlumbaan selepas terjatuh pada pusingan ke-12.

Pelumba tuan rumah Aron Canet muncul juara dengan mencatat masa 41:25.706s manakala Romano Fenati di tempat kedua dan Joan Mir di kedudukan ketiga.

Selepas empat pusingan Adam menduduki tempat ke-19 kedudukan pelumba keseluruhan apabila mengumpul enam mata dan pencapaian terbaiknya masih di pusingan pertama di GP Qatar apabila menduduki tempat ke-10.

Disiarkan pada: May 8, 2017 @ 11:43am
d