arena

Jawatankuasa siasat insiden Norizman

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Persatuan Automobil Malaysia (AAM) akan menubuhkan jawatankuasa siasatan dalam tempoh terdekat sebagai usaha untuk menyiasat insiden membabitkan pelumba kelas CP150 Norizman Ismail maut pada sesi ujian masa Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Baru Kijal, Kemaman, Terengganu, minggu lalu.

Pengerusi AAM Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha menerusi satu kenyataan berkata, jawatankuasa itu akan ditubuhkan selepas pihaknya menerima semua dokumen berkaitan membabitkan insiden itu.

"Litar itu sudah pun diperiksa oleh Inspektor Rasmi Sirkit AAM pada Khamis (3 Mei) bagi memastikan kesemua ciri-ciri keselamatan dan penghalang berada di kedudukan sepatutnya untuk perlumbaan itu," katanya.

Norizman meninggal dunia selepas terbabas sendiri di selekoh pertama dan merempuh penghadang tepi litar di susuli jenteranya.

Pelumba ONEXOX TKKR Racing itu memulakan karier di Cub Prix pada tahun 2004 dan bergelar juara kelas perdana sebanyak dua kali dengan yang pertama pada tahun 2005.

Pelumba berusia 32 tahun itu sekali lagi muncul juara pada 2011 bersama bekas pasukannya Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing.

Disiarkan pada: May 9, 2017 @ 8:42pm
d