arena

FELCRA FC konsisten

Kuala Lumpur: FELCRA FC terus mempamerkan aksi konsisten dalam saingan Piala FAM apabila menumbangkan MOF FC 4-2 dalam aksi di Stadium Mini INSPEN Bangi kelmarin.

Dua jaringan N Thanabalan memastikan FELCRA FC meraih tiga mata berharga apabila pemain skuad Bawah 22 negara itu meledak pada minit ke-61 dan 81.

Jaringan itu menafikan kebangkitan yang cuba dipamerkan lawan bagi membolehkan skuad kendalian Yusri Che Lah mengumpul 14 mata untuk berada pada kedudukan keempat Kumpulan A.

“Saya gembira kami melakar kemenangan dengan kehadiran beberapa pemain seperti Thanabalan, Mohd Firdaus Azizul dan Mohd Rahizi Mohd Rasib.

“Pemain tengah Haziq Muiz turut memainkan peranan yang besar dalam membantu pasukan melakar kemenangan keempat dari sembilan perlawanan,” jelas Timbalan Presiden FELCRA FC Datuk Hazian Murad.

Selepas sembilan perlawanan, saingan Kumpulan A diketuai UKM FC yang meraih 18 mata manakala PJ Rangers mendahului Kumpulan B dengan 17 mata.

Saingan Piala FAM 2017 membabitkan 15 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan, berlangsung secara liga dua pusingan. Empat pasukan teratas setiap kumpulan mara ke suku akhir.

Disiarkan pada: May 10, 2017 @ 9:20am
d