arena

Forkey Doe berdepan hukuman disiplin FAS

Kuala Lumpur: Malang berganda mungkin menimpa Francis Forkey Doe selepas Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mempertimbangkan mengambil tindakan disiplin ke atas pemain import dari Liberia itu.

Penyerang berusia 32 tahun itu didapati bersalah menggunakan kereta klon dan dihukum denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret semalam.

Atas kesalahan melanggar undang-undang itu juga FAS berhak mengambil sebarang tindakan susulan mengikut kontrak ditandatangani apatah lagi mereka boleh mendaftarkan pemain import baru pada tempoh pendaftaran kedua bermula 15 Mei ini andai tindakan drastik dilakukan ke atas Forkey Doe.

Bagaimanapun, pengurus Selangor Abdul Rauf Ahmad menyatakan FAS tidak akan mengambil tindakan terburu-buru untuk menamatkan kontrak pemain itu atau mengenakan sebarang hukuman.

“Kami mengesahkan Forkey Doe didapati bersalah dan dikenakan denda atas kesalahan itu, bagaimanapun tiada kes lain ke atasnya. Tindakan lanjut akan dibincang selepas kami balik dari Sarawak.

“Kes ini berlaku ketika kami boleh mendaftarkan pemain baru, tapi sebarang keputusan bergantung kepada jurulatih (P Maniam). Beliau akan melihat situasi dan keperluan dalam pasukan.

“Banyak perkara perlu diteliti sebelum membuat sebarang keputusan termasuk dari segi prestasi dalam latihan dan perlawanan, disiplin dan sebagainya. Kami akan fikirkan yang terbaik untuk pasukan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Forkey Doe ditahan polis di Bandar Puteri Puchong, Selangor, Jumaat lalu kerana disyaki menggunakan kereta klon jenis BMW 325i.

Dia yang dihadapkan ke mahkamah majistret semalam dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu.

Forkey Doe, bekas pemain FELDA United yang menandatangani kontrak setahun bersama Selangor, menjaringkan lima gol dalam saingan Liga Super musim ini.

Susulan kes itu, dia terlepas aksi menentang Sarawak di Kuching malam tadi.

Disiarkan pada: May 10, 2017 @ 9:21am
d