arena

Helang Merah ada perangkap

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kedah dijangka hadir ke Kuala Terengganu dengan segenap kekuatan apabila membariskan skuad lengkap bagi aksi kedua separuh akhir Piala FA, Sabtu ini.

Menurut pengendali sementara Kedah Nidzam Adha Yusoff, kelebihan agregat 1-0 yang diraih ketika aksi pertama di Stadium Darul Aman akan cuba dipertahankan dengan beliau mengaku tidak berdepan masalah untuk menurunkan kesebelasan terbaik dalam aksi itu nanti.

Katanya, strategi merehatkan beberapa tonggak utama ketika perlawanan Liga Super menentang PKNS FC, kelmarin selain kepulangan semula Liridon Krasniqi dan Rizal Ghazali yang digantung akibat kad kuning dan merah mampu memperkukuhkan pasukannya.

“Memang sasaran utama kami adalah persediaan untuk aksi Sabtu ini dan saya harap kami dapat senaraikan kesebelasan terbaik nanti.

“Kemasukan semula Rizal dan Liridon daripada penggantungan akan menambah kekuatan pasukan yang perlu mempertahankan jaringan itu,” katanya.

Pada aksi pertama di Alor Star sebelum ini, jaringan minit ke-71 hasil percubaan Muhammad Farhan Roslan meletakkan Kedah selangkah untuk mara ke pentas final Piala FA yang dijadualkan berlangsung pada 20 Mei ini di Stadium Shah Alam.

Kedah yang pernah menjulang trofi berkenaan sebanyak tiga kali iaitu pada 1996, 2007 dan 2008 berada pada prestasi terbaik untuk meraih kejuaraan ketiga dalam dua musim selepas menjuarai Piala Malaysia musim lalu dan Piala Sumbangsih, awal tahun ini.

“Bermain di tempat lawan memberi sedikit tekanan kepada pemain lebih-lebih lagi dengan mereka juga mahu mendapatkan gol awal nanti.

“Tetapi saya yakin kemenangan mampu dicapai dengan kerjasama semua pemain kerana Piala FA adalah sasaran utama kami musim ini selepas memenangi Piala Sumbangsih,” katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 10:14am
d