arena

Syarul sasar gelaran hatrik

Kuala Lumpur: Atlet bina badan Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (gambar) tetap mengambil sikap berwaspada walaupun bersemangat untuk mempertahankan kejuaraan Mr Asia dan Universe tahun ini.

Selepas memenangi gelaran Mr Asia sejak dua edisi lalu, atlet berusia 44 tahun itu mahu memastikan gelaran hatrik pada kejohanan anjuran Persekutuan Bina Badan dan Fizik Asia (ABBF) yang dijadualkan berlangsung di Korea Selatan, Ogos nanti.

Malah, dia berhasrat mengukuhkan reputasinya di pentas antarabangsa dengan mempertahankan gelaran Mr Universe pada Oktober di Mongolia, selepas memenanginya buat kali pertama tahun lalu.

“Saya tekad untuk mempertahankan dua gelaran ini. Tiada kejohanan lain dengan fokus adalah kepada dua kejohanan berkenaan.

“Saya sudah memulakan latihan dan persediaan ke arah mencapai sasaran. Latihan yang lebih serius akan bermula pada Jun nanti,” jelasnya.

Syarul Azman menjelaskan, selepas bergelar juara dia perlu membuat persiapan lebih rapi kerana cabaran lebih sengit serta mencabar bakal menantinya selepas ini.

“Sudah pasti tekanan lebih kuat. Saya perlu bekerja keras kerana setiap pencabar pasti mengidamkan gelaran ini terutamanya dengan kehadiran muka baru yang sukar diduga,” tambahnya.

Kejayaan tersenarai sebagai salah seorang finalis Olahragawan Kebangsaan di Anugerah Sukan Negara (ASN) 2016 turut membakar semangatnya.

“Saya berharap ia satu permulaan yang positif dan terus tersenarai pada tahun akan datang. Sasaran utama agar saya dapat menang gelaran Olahragawan Kebangsaan suatu hari nanti,” tambahnya.

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 10:27am
d