arena

Bottas bukan menang nasib

Oleh AFP

Barcelona: Valtteri Bottas (gambar) mahu membuktikan kemenangan sulungnya dalam Formula Satu di Sochi bukan secara kebetulan dengan mengulanginya buat pasukan juara Mercedes pada Grand Prix Sepanyol, hujung minggu ini.

Pemandu Finland itu, yang muncul sebagai ancaman utama bukan setakat kepada rakan sepasukan Lewis Hamilton begitu juga pendahulu kejuaraan dari Ferrari, Sebastian Vettel, percaya keazaman, prestasi dan kepantasannya selaras dengan keyakinannya.

“Meraih kemenangan pastinya memberikan saya lebih banyak keyakinan bahawa saya boleh melakukannya kerana saya sering kali berasakan saya mampu melakukannya.

“Kini ia sudah dilakukan dan apa yang saya mahukan adalah menang dan menang lagi,” ujar Bottas.

Satu lagi kemenangan Bottas mungkin bukan satu kejutan di litar yang menghasilkan pemenang berbeza berbanding di tempat lain dan jika dia berjaya, dia muncul pemenang ke-11 berbeza dalam tempoh 11 tahun.

Litar de Catalunya, litar yang amat difahami pemandu dan pasukan sejak sesi ujian pramusim, mampu mencetus keputusan tidak dijangka.

Ia terbukti tahun lalu menerusi kemenangan pemandu remaja Belanda, Max Verstappen dalam penampilan sulungnya bersama Red Bull.

Persembahan cemerlang Bottas akhir-akhir ini - petak utama di Bahrain dan menang di Sochi - mengesahkannya sebagai pengganti sesuai buat juara dunia 2016 yang bersara Nico Rosberg di Mercedes, yang mana buat seketika dia membayangi juara dunia tiga kali Hamilton.

Namun, ia tidak banyak memberi makna buat pasukan, dengan semua pakej terkini, bermula dengan musim di Eropah ketika Ferrari dijangka mempunyai kelebihan jika keadaan cuaca mampu mempengaruhi penggunaan tayar.

Pasukan Itali itu memiliki kereta yang kurang bergantung kepada tayar getahnya dan bertindak lebih baik dalam suhu berbeza berbanding Mercedes.

Disiarkan pada: May 12, 2017 @ 10:33am
d