arena

Bangga walau tewas

Madrid: Sekalipun kecewa tersingkir di tangan Real Madrid sekali lagi, bos Atletico Diego Simeone tetap bangga dengan persembahan anak buahnya dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini.

“Saya gembira dan bangga kerana sekali lagi kami membuktikan kenapa kami bertanding di tahap tertinggi di belakang Real Madrid dan Barcelona,” ujar pengendali dari Argentina itu.

“Apabila kami menyatakan kami percaya boleh melakukan kebangkitan, ia hanyalah kata-kata.”

Atletico mendapat inspirasi daripada suasana sensasi dalam penampilan terakhir Liga Juara-Juara di Vicente Calderon sebelum berpindah ke stadium baru berkapasiti 67,000, Wanda Metropolitano musim depan.

“Suasana ini satu daripada saat magis di Calderon yang akan diingati selama-lamanya.”

Atletico berdepan satu lagi cabaran getir pada musim panas ini selain berpindah ke stadium baru, mereka perlu menangani tawaran lumayan terhadap pemain seperti Antoine Griezmann selain Simeone sendiri.

Bagaimanapun, Simeone menegaskan Atletico mempunyai masa depan cerah selepas meninggalkan Calderon.

“Jelas sekali kami masih perlu meningkat.

“Langkah ke final adalah terlalu besar dan kami perlu terus membaiki diri. Jika kami boleh meningkat saya percaya masa depan lebih memberangsangkan.”
- AFP

Disiarkan pada: May 12, 2017 @ 10:38am
d