arena

Zii Jia turut tersenarai

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Lee Zii Jia (gambar) menjadi pemain perseorangan lelaki terbaru negara tersenarai ke Piala Sudirman di Gold Coast, Australia dari 21 hingga 28 Mei ini.

Perkara itu disahkan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen sekali gus menyaksikan senarai yang akan dibawa ke kejohanan itu bertambah 17 pemain.

“Lee Zii Jia akan diletakkan selaku simpanan untuk perseorangan lelaki.

“Bermakna kini kita mempunyai tiga pemain yang akan di bawa ke Australia iaitu (Datuk) Lee Chong Wei, Iskandar Zulkarnain (Zainuddin) serta Zii Jia,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Kehadiran Zii Jia pastinya akan memberi impak yang lebih baik kerana boleh menjadi rakan sepelatih untuk Iskandar dan Chong Wei ketika saingan Piala Sudirman.

Mengulas mengenai persiapan keseluruhan skuad negara untuk kejohanan itu, Frost berkata, segala-galanya berjalan baik.

“Cuma ketika ini kami dalam persiapan fasa akhir dan bagi saya setiap pemain perlu memberi lebih fokus.

“Ada beberapa kecederaan kecil membabitkan pemain tertentu tapi ini perkara biasa.

“Kami akan sentiasa memantau keadaan setiap pemain,” katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 4:00am
d