arena

Sesiapa pun boleh

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran negara Chan Peng Soon sedia untuk digandingkan dengan Lai Pei Jing atau pemain muda Cheah Yee See pada saingan Piala Sudirman yang berlangsung di Gold Coast, Australia pada 21 hingga 28 Mei ini.

Peng Soon ketika ini digandingkan dengan Yee See untuk saingan itu, namun taktikal pasukan juga mungkin menyaksikan dia bakal bergandingan bersama Pei Jing.

“Untuk sekarang saya juga ada menjalani latihan dengan Pei Jing dan Yee See.

“Segala-galanya bergantung kepada situasi di sana. Kalau saya bergandingan dengan Pei Jing, jadi (Tan) Kian Meng akan bergandingan bersama Yee See,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Jelas Peng Soon, Yee See pada pandangannya seorang pemain yang bagus tetapi masih belum mencapai tahap tertinggi.

“Corak permainannya boleh diperbaiki kerana dia masih muda.

“Untuk mencapai tahap permainan tertinggi dia perlu bekerja lebih keras. Tidak mungkin dia akan mencapai tahap permainan tertinggi dalam tempoh terdekat,” katanya.

Peng Soon berkata, gandingannya bersama Pei Jing mungkin hanya akan berlaku di Piala Sudirman tetapi tidak selepas berakhir kejohanan itu.

“Saya akan bergandingan dengan Yee See semula untuk beberapa kejohanan sebelum Kejohanan Dunia pada Ogos,” katanya.

Gandingan Peng Soon, Goh Liu Ying tidak tersenarai ke Gold Coast kerana masih berdepan kecederaan bahu yang dialaminya ketika di Terbuka India.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 4:04am
d