arena

Latif bukan 'biasa-biasa'

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Jurulatih atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly, Syahrul Amri Mohd Suhaimi yakin pemenang emas temasya Paralimpik Rio itu mampu mencatat jarak lompatan lebih jauh.

Menyasarkan kejohanan Grand Prix Olahraga Dunia IPC di Paris pada 27 Mei hingga 1 Jun, Syahrul menegaskan beliau mahu menjadikan pertandingan berkenaan bagi memantau perkembangan atletnya itu.

Selepas hanya menyertai satu pertandingan tahun ini di Kejohanan Olahraga Terbuka Perak, Februari lalu kerana dihantui kecederaan, Syahrul kini yakin atlet kelahiran Perlis itu mampu melakukan lompatan lebih baik dari 7.40 meter.

“Latif seorang atlet yang sangat bermotivasi. Saya lihat dia mempunyai mental dan fizikal luar biasa.

“Motivasi dia cukup tinggi dan boleh lakukan lebih baik dari 7.40m, malah mungkin 7.6 atau 7.7m, bagaimanapun saya tidak berani memberi tekanan kepada Latif.

“Jadi, kita tunggu perkembangannya di Paris sebelum menentukan hala tujunya,” katanya yang akan cuba menyenaraikan Latif untuk Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand selepas kembalinya dari Paris.

Syahrul bagaimanapun menegaskan, masalah kecederaan yang dialami Olahragawan Negara 2016 itu menghalang Latif daripada menyertai lebih banyak kejohanan.

“Memang pada awal perancangan, Latif akan ke Lumut untuk menyertai Kejohanan Olahraga Tertutup tapi dia pula cedera. Jadi, saya tidak mahu terlalu menekan kerana kejohanan di Paris lebih penting.

“Dia perlu ke Paris bagi mendapatkan ranking IPC,” katanya. Pencapaian terbaik Latif adalah 7.60m dilakukan ketika temasya Paralimpik Rio dan dia perlu melepasi lompatan 7.52m seandainya ingin beraksi di Sukan SEA.

Pada temasya Sukan SEA Singapura emas milik atlet Thailand Supanara Sukhasvasti dengan lompatan 7.75m, Phạm Văn Lâm (Vietnam) perak, 7.52m dan Donovant Arriola (Filipina) gangsa 7.51m.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 4:12am
d