arena

Bola Shebby: Prestasi pemain ACL makin mantap

Oleh Serbegeth Singh

Pertarungan Liga Juara-Juara Asia (ACL) peringkat kumpulan sudah selesai dengan beberapa pasukan mengesahkan tempat kalah mati Pusingan 16.

Kita dapat menyaksikan banyak perlawanan ACL Zon Timur dengan tahap permainan yang mengatasi edisi 2016.

China dengan semangat, tekad serta kekuatan kewangan menyumbang tiga pasukan melalui Shanghai SIPG, Guangzhou Evergrande serta Jiangsu Suning. Turut sama, tiga kelab Jepun dengan Urawa Red Diamonds, Kawasaki Frontale dan Kashima Antlers.

Jeju United menjadi wakil tunggal Korea Selatan bersama gergasi Thailand Muangthong United.

Persembahan lembap serta kekurangan kemahiran teknikal serta taktikal bermakna Australia tidak mempunyai wakil di Pusingan 16.

Berikutan tamatnya peringkat kumpulan maka terdapat beberapa pemain individu yang menyerlah untuk pasukan masing-masing.

Seterusnya, ini barisan 11 pemain yang menarik perhatian yang beraksi dengan formasi 3-4-3.

Penjaga gol paling menarik perhatian ialah Jung Sung Ryong yang mewakili Kawasaki Frontale. Pemain dari Korea Selatan ini beraksi begitu cemerlang dengan pintu golnya hanya dibolosi tiga kali dalam enam perlawanan. Prestasinya membolehkan Kawasaki muncul juara Kumpulan G.

Persembahan Sung Ryong menampilkan Kawasaki menjadi pasukan tunggal yang mengelak segala kekalahan bersama naib juara Kumpulan G Guangzhou Evergrande yang dibarisi pemain lebih handal dan glamor.

Tapi, gawang Sung Ryong hanya bolos tiga berbanding lima buat Guangzhou.

Di bahagian pertahanan tengah pula, tiga tonggak yang begitu kebal ialah Tomoaki Makino, Naoaki Aoyama serta Li Ang.

Kereta kebal Urawa Red Diamonds, Makino ialah seorang pertahanan tengah berpengaruh. Selain kebolehan bertahan dalam situasi satu lawan satu, dia juga berkebolehan mengawal barisan pertahanan. Satu lagi pilihan mungkin agak mengejutkan, tetapi Aoyama bersama Muangthong membawa ciri tersendiri.

Pemain berasal Jepun ini begitu agresif dan gelagat bermain keras memberi peluang Muangthong menjadi lebih yakin apabila beraksi tanpa bola. Aoyama menjadi satu-satunya pemain kekal beraksi dalam kesemua enam perlawanan peringkat kumpulan dengan membantu barisan pertahanan yang hanya dibolosi tiga gol.

Turut bersama dalam pilihan ini ialah pemain pertahanan yang tidak banyak disebut kerana begitu cekap sebagai pertahanan. Li Ang sebagai pemain pertahanan tengah mengendalikan pertahanan pasukan Jiangsu Suning muncul juara Kumpulan H. Pemain berusia 23 tahun ini sudah menunjukkan kematangan dan keyakinan sebagai pertahanan yang bakal menyumbang kepada pasukan China di peringkat antarabangsa.

Bahagian tengah dikuasai Wu Lei, bintang bola sepak China yang merobek sebelah kiri pertahanan lawan. Beraksi sebagai sayap kanan, Wu Lei kini sudah meningkat prestasi kerana beraksi bersama pemain bertaraf dunia seperti Oscar di bahagian tengah Shanghai SIPG. Bekas pemain Chelsea ini pula menunjukkan semangat tinggi dan tidak sekali didapati kurang bertanggungjawab.

Seorang lagi pemain yang amat memuaskan keringat serta tabiat ialah Ramires yang kini sudah menambah kebolehan dengan ketenangan menjaring gol. Selalu diiktiraf sebagai pemain lasak di bahagian tengah, Ramires menunjukkan dengan sedikit kebebasan beliau masih boleh ke tahap baru.

Di sebelah kiri bahagian tengah Tomoya Ugajin dari Urawa Red Diamonds menjadi pilihan mudah kerana pemain ini menguasai penuh sayap kiri. Pemain ini begitu versatil mengisi peranan bek kiri atau sayap kiri dengan begitu sempurna.

Di bahagian serangan pula Rafael Silva menjadi salah seorang penyerang utama yang begitu liat dan jaringan lima gol di peringkat Kumpulan bermakna Urawa Red Diamonds menjadi pasukan pilihan untuk terus mara dari Peringkat 16.

Tidak ketinggalan pula, Hulk dari Shanghai SIPG yang membuktikan tubuh badan besar serta tabiat positif membawa hasil bagi Shanghai. Pemain Brazil ini menunjukkan beliau ke China bukan semata-mata mengejar duit, tetapi inginkan kejayaan di atas padang.

Kita lengkapkan pilihan kesebelasan utama dengan Alex Texeira, seorang lagi pemain berasal Brazil bersama Jiangsu Suning. Persembahan lincah serta pantas meletakkannya sebagai pilihan dalam ACL Zon Timur.

Jelas kesebelasan utama ini menjadi pemain contoh dengan pemain asing menunjukkan tahap tertinggi manakala pemain tempatan mengambil contoh ini untuk beraksi cemerlang.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 4:17am
d