arena

Main ibarat pentas final

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: “Dapatkan jaringan awal dan elakkan daripada dibolosi.”

Itu mesej penting ketua jurulatih Terengganu Irfan Bakti Abu Salim kepada anak buahnya menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA bertemu Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) malam ini.

Selain itu, pengendali berusia 66 tahun itu turut mahukan pemainnya beraksi bagaikan pentas akhir bagi memastikan impian skuad Peteh Terengganu Peteh melangkah ke final tercapai biarpun sedar tugasan itu bukan mudah dilaksanakan.

“Kita perlu menjaringkan gol awal dan menguasai permainan dengan mencipta gerakan menarik. Keadaan ini sudah pasti menyuntik semangat luar biasa kepada pemain untuk memberi tekanan kepada Kedah.

“Oleh sebab itu saya tegaskan kepada pemain tiada cara lain untuk menang kecuali melakukan serangan bertali arus. Pada masa sama, kami kena berwaspada dengan serangan balas Kedah yang bakal menggunakan kekuatan bahagian tengah untuk merencana gerakan,” katanya.

Dalam aksi separuh akhir pertama, jaringan penyerang Kedah Muhamad Farhan Roslan pada minit ke-71 menceriakan skuad Helang Merah itu dengan kemenangan 1-0.

Mengulas lanjut, Irfan yang pernah membawa skuad Penyu muncul juara Piala FA 2011 turut mengingatkan anak buahnya supaya mengamalkan disiplin tinggi dengan tidak melakukan sebarang kesilapan yang boleh membawa padah.

“Hanya selangkah lagi untuk ke final, justeru pemain tidak perlu memikirkan defisit satu gol itu sebaliknya harus lebih tenang memburu gol dan cuba mengelak bermain secara emosi,” katanya.

Irfan turut yang mengakui lega dengan kehadiran semula empat tonggak kapten Abdul Latiff Suhaimi, Lutfulla Turaev, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir dan Ismail Faruqi Saari.

Beliau yang terkenal dengan sikap tegasnya ketika di padang juga menuntut barisan penyerang yang diketuai pemain kelahiran Argentina Federico Falcone dan dibantu penyerang Kanada Issey Nakajima Farran supaya bijak menghidu peluang untuk menghasilkan jaringan.

“Ini masanya untuk membuktikan kehebatan dan kemampuan masing-masing, bermula dari penjaga gol hingga barisan penyerang,” katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 4:29am
d