arena

Hamilton laung amaran

Oleh Reuters

Barcelona: Lewis Hamilton mencatat masa terpantas pada sesi latihan Grand Prix Sepanyol kelmarin ketika pasukan juara dunia Mercedes kembali melaungkan cabaran buat Ferrari dengan penggunaan peralatan aerodinamik serba baru.

Sambil saingan untuk merebut kejuaraan musim ini dilihat kembali seimbang selepas empat perlumbaan, Mercedes tampil di litar Catalunya dengan jentera yang pantas menarik perhatian ramai.

Pengubahsuaian yang dilakukan Mercedes itu amat menggembirakan Hamilton sekali gus membolehkan pelumba Britain itu mencatat masa terpantas satu minit 21.521 saat dengan tayar sederhana.

Catatan itu 0.029 saat lebih pantas berbanding rakan sepasukannya dari Finland Valtteri Bottas tetapi hampir sesaat lebih pantas di depan pelumba Ferrari Kimi Raikkonen yang menduduki tempat ketiga.

Pendahulu kategori pelumba Sebastian Vettel di tangga keempat tetapi ketinggalan 1.079 saat di belakang Hamilton.

“Saya berdepan masalah teknikal. Ada bahagian jentera saya yang pecah,” kata pelumba Jerman itu yang mengatasi Hamilton dengan kelebihan 13 mata. “Ia mungkin berkaitan dengan kotak gear.”

Jentera Vettel terpaksa ditunda ke garaj dan dia hanya kembali meneruskan latihan setengah jam kemudian.

Bekas juara dunia dari Sepanyol Fernando Alonso berdepan kekecewaan apabila enjin jentera McLaren yang dipandunya mengalami kerosakan sebelum sempat mencatat sebarang masa.

McLaren menyalahkan kebocoran minyak pada enjin Honda dan sebagai bukti, sebahagian kecil litar dibasahi minyak dari jentera Alonso hingga mengakibatkan ia terpaksa ditunda.

“Enjin seolah-olah meletup selepas selekoh pertama. Kami terlepas sesi ujian. Saya memohon maaf kepada semua penyokong,” kata Alonso yang turut gagal memulakan perlumbaan di Russia atas masalah sama.

“Saya harap sesi kedua akan lebih baik. Ia sesuatu yang sukar buat saya tetapi McLaren lebih merasainya kerana mereka sudah mencuba pelbagai cara untuk memastikan pasukan kami berjaya.”

Disiarkan pada: May 14, 2017 @ 1:52am
d