arena

Harrif membara pertahan emas

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Mohd Harrif Saleh tidak tertekan sebaliknya semakin bersemangat untuk mempertahankan dua emas yang dimenangi pada Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu.

Pelumba Terengganu Cycling Team itu berkata, persiapan rapi sudah dijalankan bersama rakan sepasukan yang lain termasuk kem latihan di Ipoh selama beberapa minggu.

“Semakin hari saya semakin bersemangat untuk mengulangi pencapaian dua tahun lalu. Kali ini saya mahu menang di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

Pada edisi 2015 di Singapura, Harrif menamatkan kemarau emas lebuh raya yang kali terakhir dimenangi pada 2005, apabila menakluk acara lepas beramai-ramai dan kriterium.

Harapan terus disandarkan kepadanya pada edisi ke-29 dengan perlumbaan lepas beramai-ramai akan berlangsung di Nilai manakala Putrajaya menjadi laluan pilihan untuk acara kriterium.

Harrif bersama Anuar Manan serta Zamri Saleh dijadualkan menyertai acara perlumbaan Pra-Sukan SEA yang bakal berlangsung minggu depan dan menggunakan sebahagian besar laluan perlumbaan sebenar.

“Keutamaan saya adalah untuk melihat dan merasai laluan sebenar perlumbaan kerana saya percaya negara lain turut mempunyai misi yang sama.

“Saya harap dapat menyesuaikan diri dengan laluan itu. Jika mampu menang pada perlumbaan Pra-Sukan SEA, saya menganggap ia sebagai suntikan semangat menjelang acara sebenar pada Ogos nanti,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2017 @ 1:54am
d