arena

Jaringan Isai buat lawan gigit jari

Slim River: Persatuan Bola Sepak Orang Asli (PBOA) Tenau FC dinobat juara Liga Piala Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib edisi ketiga selepas menewaskan Kolej Vokasional Slim River (KVSR) pada perlawanan akhir di padang Majlis Daerah Tanjung Malim, dekat sini, baru-baru ini.

PBOA Tenau FC yang turun dengan penuh semangat dengan sokongan kira-kira 500 penyokong terdiri penduduk kampung menumpaskan KVSR 1-0. Jaringan tunggal perlawanan itu disempurnakan ayam tambatan mereka Isai Sabah menerusi sepakan penalti.

Tempat ketiga dimenangi pasukan Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim yang mengalahkan Majlis Belia Daerah Muallim 3-1.

Hasil kemenangan itu, PBOA Tenau merampas Piala Liga dan membolot wang tunai RM7,000. KVSR pula memperoleh wang tunai RM4,000 manakala Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim menerima RM3,000 dan MBD Muallim RM2,000.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Mohd Khusairi dan turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kerajaan negeri, Datuk Rusnah Kassim serta Pegawai Pendidikan Daerah Muallim, Saipul Bahrin Sulaiman.

Namun begitu, sebagai tanda sokongan kemajuan sukan bola sepak Orang Asli, Rusnah turut mengumumkan tambahan hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 menjadikan PBOA Tenau FC memperolehi RM10,000 keseluruhan hadiah wang tunai.

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 12:31pm
d