arena

Nasib berbeza

Kuala Lumpur: Sentuhan penyudah menghantui Persatuan Bolasepak FELDA Wilayah (PBFW) Terengganu apabila gagal meneruskan rentak kemenangan dalam aksi kedua Kumpulan A Piala Pengerusi FELDA 2017.

Pada pertemuan kelmarin, anak buah Mohd Sharul Abdul Rahman yang juga juara edisi 2016 terpaksa akur tewas 1-2 kepada PBFW Gua Musang dalam aksi di padang Chiku 3.

“Kami menguasai sebahagian besar perlawanan namun gagal menemui sentuhan penyudah. Kami berjaya meledak satu gol selepas lawan mendahului 2-0.

“Rezeki tidak berpihak kepada kami untuk meraih tiga mata. Amat merugikan kami tidak dapat mencuri sekurang-kurangnya satu mata bagi mengukuhkan kedudukan ke separuh akhir, ” katanya.

Sementara wakil tunggal dari Sabah, PBFW Sahabat bermula dengan positif apabila menewaskan Mempaga 6-4 pada aksi di padang Institut Semarak FELDA, Bangi dalam satu lagi aksi Kumpulan A.

Anak buah jurulatih Haiyah Raopung mempamerkan persembahan mantap pada babak pertama apabila mendahului lawan 4-1 namun berdepan kesukaran menangani kebangkitan lawan pada baki 45 minit.

Mempaga mempamerkan semangat juang tinggi merapatkan kedudukan sebelum beberapa percaturan Haiyah menukarkan pemain untuk mencari gol dan mengekang kebangkitan lawan berjaya membuahkan hasil.

“Saya gembira kami bermula dengan meraih tiga mata pada perlawanan pertama, tidak seperti tahun lalu yang bermula dengan kekalahan. Secara tidak langsung memberi kami semangat untuk meneruskan rentak kemenangan.

“Cuma pemain perlu diingatkan supaya tidak terlalu selesa apabila mendahului lawan seperti yang berlaku pada perlawanan ini. Kami perlu fokus hingga minit ke-90 permainan,” ujarnya.

Saingan Piala Pengerusi FELDA 2017 yang bermula minggu lalu membabitkan 12 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan dan dijalankan secara liga satu pusingan.

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 12:32pm
d