arena

Tawaran JDT sangat tinggi

Oleh BERNAMA

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan sudah menerima surat tawaran daripada pengurusan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi mendapatkan khidmat penyerang importnya Mohammed Ghaddar pada pintu perpindahan pemain yang dibuka hari ini.

Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md Noor berkata susulan itu, pihaknya melantik naib presiden, Datuk Nasir Hamzah, bendahari persatuan, Nik Aminalddin Nik Jaafar serta beberapa Exconya untuk menguruskan tawaran berkenaan.

“Tawaran yang diberi kepada Ghaddar sudah tentu memberi tekanan kepada kami memandangkan tawaran itu sangat tinggi," katanya dalam kenyataan di Kota Bharu, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan JDT amat berminat mendapatkan khidmat pemain import dari Lubnan itu yang kini penjaring terbanyak Liga Super dengan 18 gol.

Ismail berkata KAFA juga berdepan tekanan mendapatkan khidmat penyerang baru dalam tempoh singkat memandangkan 'hati dan perasaan Ghaddar sudah tidak bersama Kelantan'.

"Bagaimanapun, kalau ini menjadi realiti (perpindahan Ghaddar kepada JDT), maka biarlah Kelantan juga mendapat faedah.

"Saya berharap jawatankuasa kita dapat menggunakan kebijaksanaan mereka supaya setiap rahmat melimpah menjadi milik kita," katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 6:55pm
d