arena

SMK Zon R1 juara ragbi sentuh

Kuala Lumpur: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 5 Wangsa Maju buat julung kalinya berjaya menganjurkan Kejohanan Ragbi Sentuh Tiga Penjuru Piala Pusingan Ahli Parlimen Setiawangsa, baru-baru ini.

Kejohanan itu diadakan di padang sekolah SMK Seksyen 5 Wangsa Maju dan disertai tiga sekolah iaitu SMK Taman Seri Rampai, SMK Zon R1 Wangsa Maju dan SMK Seksyen 5 Wangsa Maju.

Pengerusi PIBG SMK Seksyen 5 Wangsa Maju, Abdul Rahim Ahmad berkata, kejohanan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori remaja buat pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 serta kategori senior yang disertai pelajar Tingkatan 4 dan 5.

“Penganjuran kejohanan ini turut dibantu oleh Federation of International Touch Malaysia (FITouch Malaysia) yang mana satu sesi pengenalan permainan turut diadakan dan dikendalikan oleh Brian O’Connors, Pengerusi FITouch Malaysia.

“FITouch Malaysia juga menyediakan pengadil bertauliah bagi mengadili kejohanan ini,” katanya.

Rahim berkata, objektif utama kejohanan itu adalah meningkatkan minat pelajar untuk menyertai permainan ragbi sentuh terutama sekolah yang belum mempunyai pasukan sentuh dan sekolah yang baru saja menubuhkan pasukan ragbi.

SMK Zon R1 berjaya menjadi juara keseluruhan diikuti SMK Seksyen 5 Wangsa Maju di tempat kedua dan SMK Taman Seri Rampai di tempat ketiga.

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 9:07am
d