arena

Azmi kuasai edisi sulung Memanah Remaja PNBD

Nilai: Pemanah Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Muhammad Azmi Muhammad Rafeek berjaya mengungguli edisi sulung Kejohanan Memanah Remaja Kebangsaan PNBD selepas menewaskan pemanah dari Kelab Memanah Hulu Langat, Muhammad Syazwan Akif Saifol Bakhri dalam penentuan pingat emas kategori lelaki B-15.

Azmi jelas berada dalam prestasi terbaik apabila membidik dengan begitu yakin untuk menang 6-2 sekali gus meraih pingat emas dan wang tunai RM300.

Syazwan pula sekadar berpuas hati dengan pingat perak dan wang tunai RM200 manakala gangsa menjadi milik pemanah Maktab Rendah Sains Mara Alor Gajah, Muhammad Afham Marzuki Amirdin.

“Saya bersyukur dapat menjuarai kejohanan yang kali pertama dianjurkan ini. Ia memberikan saya motivasi tambahan untuk lebih berjaya dalam sukan memanah selepas ini,” kata Azmi.

Sementara itu, Fya Arissa Baharom yang mewakili Kelab Memanah Seri Pagi turut cemerlang apabila dinobat selaku pemenang pingat emas selepas mengatasi Nurul Azeera Mohd Faizal dari Kelab Memanah Sasar 6-2 bagi kategori perempuan B-15.

“Memang tak sangka boleh menang. Saingan sengit daripada pencabar lain. Ini juga penyertaan sulung saya di kejohanan peringkat kebangsaan. Latihan keras selama ini berbaloi akhirnya. Saya mahu mewakili negara satu hari nanti,” ujar Fya Arissa yang membawa pulang RM300.

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 9:08am
d