arena

'Jiwanya sudah tidak dengan Kelantan'

Oleh Firdaus Hashim

PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) mendedahkan ayam tambatannya, Mohammed Ghaddar sudah tidak lagi mempunyai hati untuk bermain bersama Kelantan selepas tertarik dengan tawaran lumayan dari kelab Johor Darul Ta'zim (Johor DT).

Pendedahan itu dibuat Naib Presiden KAFA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini sekali gus menepis dakwaan pelbagai pihak yang mengaitkan masalah kewangan punca mengapa persatuan berkenaan mahu menjual pemain kelahiran Lebanon itu.

"Kalau nak kira dari segi masalah kewangan memang KAFA alami masalah kewangan sejak berkurun-kurun lagi tetapi kami sentiasa berada dalam Liga Malaysia, malah kami masih lagi pasukan yang disegani dalam saingan tempatan.

"Jadi bukan soal kewangan itu yang menjadi pertimbangan kami untuk melepaskan Ghaddar tetapi kalau anda tengok statusnya di Facebook dan Instagram, memang dia sudah tidak berminat lagi untuk bermain dengan Kelantan.

"Saya rasa dalam dunia ini kalau orang tak berminat dengan kita, lagi pula kita berada dalam dunia bola sepak profesional perpindahan pemain ini sesuatu yang halal.

"Kalau kami pegang Ghaddar lagi rasanya tidak akan beraksi dengan baik, kerana jiwanya sudah tidak dengan Kelantan," katanya yang enggan mendedahkan jumlah perpindahan penyerang itu.

Sebelum itu, skuad Harimau Selatan mengesahkan bahawa mereka sedang mengadakan rundingan bersama KAFA untuk mendapatkan khidmat Ghaddar.

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 6:24pm
d