arena

Poad tak bimbang

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Tewas kepada pelari jauh lebih berusia ketika Kejohanan Olahraga Terbuka Selangor minggu lalu tidak membimbangkan jurulatih pecut Mohd Poad Md Kassim berhubung prestasi dua atletnya, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Haiqal Hanafi.

Malah kehadiran Mohd Izzuddin Yahaya memberi persaingan sihat kepada pelari pecut negara menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Poad berkata, jadual agak padat ketika Terbuka Selangor antara penyebab atlet bimbingannya kurang menyerlah.

“Persaingan semakin sengit sekarang ini dan saya lihat Izzuddin sudah berjaya melakukan 10.66 saat dan itu satu yang baik untuk persaingan.

“Kita lihat nanti prestasi mereka di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia atau ATF (Kejohanan Olahraga Asia,” katanya.

Bagaimanapun apa yang lebih membimbangkan Poad ketika ini adalah acara berganti-ganti yang mana hingga kini beliau masih belum dapat menggabungkan pelari terbaik.

Tegas Poad, barisan pelari Indonesia ketika ini dilaporkan sudah melakukan catatan bawah 40s biarpun pelari mereka sekadar merekodkan catatan peribadi sekitar 10.40 dan 10.50s.

Justeru beliau berharap pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyelesaikan perkara itu secepat mungkin agar dapat mencari keserasian barisan 4x100m.

Disiarkan pada: May 17, 2017 @ 9:03am
d