arena

'Seronok lawan Vettel'

Oleh Reuters

London: Lewis Hamilton seronok dengan tahap permusuhannya dalam Formula Satu bersama pemandu Ferrari, Sebastian Vettel sekalipun jika pemandu Mercedes itu menyedari senyumannya akan bertukar menjadi hambar.

Dua pemandu itu, dengan tujuh kejuaraan dunia antara mereka, bertarung hebat di Sepanyol Ahad lalu apabila Hamilton muncul pemenang dan kini enam mata di belakang pelumba Jerman itu.

Masing-masing sudah menang dua perlumbaan daripada lima perlumbaan setakat ini tahun ini.

“Apa yang saya suka mengenai perlumbaan dengan Sebastian adalah... saya sukakan tenis, saya suka menonton (Roger) Federer dan (Novak) Djokovic pada aksi final dan apa yang saya amat kagumi adalah tahap konsisten mereka,” kata Hamilton.

“Setiap pukulan bola, hanya satu kesilapan atau tersangkut di jaring boleh menentukan keseluruhan permainan. Jadi saya mengagumi tahap tumpuan mereka dan bagaimana mereka bertindak cemerlang serta berada di tahap kemuncak. Saya berasakan hari ini saya mempunyai pertarungan.”

Hamilton, juara tiga kali, memiliki jentera yang dominan dan rakan sepasukannya sebagai musuh utama bagi tiga tahun terakhir namun keputusan mengejut Nico Rosberg untuk bersara selepas memenangi kejuaraan 2016 mengubah segala-galanya.

Dia kini berdepan juara empat kali, yang pernah dominan bersama Red Bull dan mempunyai jentera yang mampu menyaingi Mercedes.

Berlumba menentang rakan sepasukan - dengan kejuaraan pengeluar sering menjadi perkiraan dan strategi sama diberikan kepada kedua-duanya mungkin lebih sukar ditangani.

Tahun lalu di Sepanyol, kedua-dua pemandu Mercedes itu berlanggar di permulaan, menyebabkan Hamilton ketinggalan 43 mata di belakang Rosberg.

“Mempunyai pertarungan dan perjuangan dengan pasukan lain, ia lebih menyeronokkan,” ujar Hamilton, yang mana rakan sepasukan barunya Valtteri Bottas menang di Russia bulan lalu namun tidak menamatkan perlumbaan di Barcelona kerana kerosakan enjin.

Bottas masih memainkan peranan penting terhadap kemenangan Hamilton, menghalang Vettel dalam tempoh yang lama untuk membolehkan pemandu Britain itu meraih beberapa saat berharga.

Disiarkan pada: May 17, 2017 @ 9:14am
d