arena

Bos Gaurus mahu rombakan

Oleh Razif Rosli

Kuala Kangsar: Perak akan melakukan rombakan drastik termasuk pihak pengurusan sebelum mengharungi pusingan kedua Liga Super 2017.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, The Bos Gaurus perlu melakukan tindakan itu bagi menaikkan semula keupayaan mereka mengharungi baki saingan yang dianggap lebih mencabar.

“Kami akan buat beberapa rombakan dengan pemain dan pegawai yang tidak menunjukkan komitmen akan gugurkan.

“PAFA akan lihat keperluan bagaimana untuk menstruktur semula pasukan utama selepas ini. Tindakan ini turut mengambil kira prestasi pasukan yang ketika ini menghuni tangga kelima dengan baki satu perlawanan pusingan pertama menentang Sarawak, pada 24 Mei ini,” katanya kepada ketika ditemui pada majlis perasmian Dataran Aman Jaya Manong sempena Permukiman Menteri Besar di Kuala Kangsar di sini, semalam.

Perak memulakan aksi awal musim dengan bertenaga ketika di bawah kendalian jurulatih legenda dari Jerman Karl Heinz Weigang.

Namun begitu, tiga kemenangan liga dan kejayaan di Piala FA belum cukup untuk memanjangkan jodoh dengan Weigang yang digantikan dengan bekas pengendali Selangor, Mehmet Durakovic.

Di bawah Durakovic, Perak hanya menang sekali iaitu menewaskan musuh tradisi Selangor di gelanggang lawan dengan mengumpul 17 mata selain terkandas di pusingan ketiga Piala FA ketika menentang Kedah.

Disiarkan pada: May 18, 2017 @ 9:04am
d