arena

Zii Jia teruja bersama senior

Kuala Lumpur: Impian jadi kenyataan dan rasa bangga itu bermain di fikiran perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia apabila berangkat bersama pemain senior Piala Sudirman ke Gold Coast, Australia, semalam.

Zii Jia yang berasal dari Alor Setar, mengakui pada mulanya berasa terkejut selepas namanya disenaraikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk kejohanan berpasukan campuran itu.

“Saya rasa bangga dapat menjadi sebahagian dari pasukan ini, memang sejak kecil lagi saya sudah berangan untuk bermain di Piala Sudirman dan sekarang impian menjadi kenyataan,” katanya yang beraksi buat kali pertama di kejohanan utama.

Jelasnya, peluang berada dalam skuad Piala Sudirman kali ini akan digunakan sepenuhnya terutama untuk mencari pengalaman dan belajar benda baru.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan jurulatih dan antara perkara yang ditekankan adalah melihat pemain 10 terbaik dunia beraksi.

“Lihat bagaimana mereka mengawal tekanan kerana dalam acara berpasukan juga banyak perkara boleh terjadi,” kata pemain berusia 19 tahun itu.

Ditanya mengenai prestasinya yang meningkat tahun ini, Zii Jia mengakui antara faktor utama adalah tiada tekanan dan dia sentiasa mengerah segala keringat tidak kira menentang sesiapa saja dalam kejohanan.

“Memang sekarang saya berada pada prestasi terbaik dan sentiasa mahu bermain sebaik mungkin supaya dapat keputusan cemerlang,” kata bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu.

Zii Jia mara ke separuh akhir Thailand Masters tahun ini sebelum tumpas kepada pemain tuan rumah, Kantaphon Wangcharoen manakala di Siri Antarabangsa Indonesia dia beraksi sehingga suku akhir.

Selain Zii Jia, turut membawa cabaran negara ke Piala Sudirman ialah Datuk Lee Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (beregu lelaki), Goh Jin Wei, Soniia Cheah (perseorangan wanita), Vivian Hoo-Woon Khe Wei, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita), Chan Peng Soon-Cheah Yee See, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran).

Disiarkan pada: May 18, 2017 @ 10:34am
d