arena

Maria tarik diri

Oleh AFP

Rome: Atas alasan cedera, Maria Sharapova (gambar) menarik diri di pusingan kedua kejohanan di Rome - beberapa jam selepas dia tidak diberikan wild card untuk ke Terbuka Perancis manakala juara bertahan Andy Murray tewas di tangan Fabio Fognini, kelmarin.

Maria yang turun sambil paha kirinya berbalut, terpaksa menarik diri ketika menentang lawan dari Croatia Mirjana Lucic-Baroni walaupun mendahului 4-6, 6-3, 2-1 dan ia menjadi antara hari paling malang buat juara Grand Slam lima kali itu.

“Saya memohon maaf kerana terpaksa menarik diri daripada perlawanan ini gara-gara kecederaan paha kiri,” kata Maria dalam satu kenyataan. “Saya akan mendapatkan rawatan untuk memastikan ia tidak serius.”

Tewas di Rome bermakna bintang berusia 30 tahun itu turut terlepas peluang untuk layak ke undian utama di Wimbledon di mana dia turut boleh berbuat demikian dengan layak ke separuh akhir kejohanan berkenaan.

Sementara itu, impian pemain nombor satu dunia Murray untuk mempertahankan kejuaraan di Rome Masters menemui kegagalan apabila tewas 6-2, 6-4 oleh pemain tempatan Fognini.

Murray sekali lagi tewas di pusingan awal sambil Fognini memaksa pilihan utama itu berlari ke segenap pelusuk gelanggang.

Murray tumbang di tangan pemain Itali itu dalam tempoh 90 minit dan dia mempunyai tugasan besar sebelum bermulanya saingan di Roland Garros dalam tempoh kurang dua minggu lagi.

Dia tidak pernah layak ke suku akhir kejohanan utama 2017 dengan kekalahannya di tangan Fognini adalah yang ketujuh musim ini.

“Saya yakin banyak perkara boleh diperbaiki. Dia memulakan permainan dengan baik,” kata Murray.

“Saya tidak mencipta peluang untuk diri sendiri. Satu-satunya peluang yang saya ada ialah ketika dia melakukan kesilapan.

“Memang saya dapat merasakan peningkatan dalam persembahan saya tetapi ia masih jauh daripada tahap sepatutnya.”

Disiarkan pada: May 18, 2017 @ 10:40am
d