arena

JDT keluarga baru saya

Oleh BERNAMA

BEKAS penyerang import Kelantan, Mohammed Ghaddar, hari ini secara rasmi diperkenalkan sebagai pemain baru Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas menandatangani kontrak menyertai skuad Harimau Selatan itu.

Pemain dari Lubnan berusia 33 tahun itu, menandatangani kontrak setahun setengah bersama JDT dan meluahkan rasa gembira serta bebanan akan ditanggungnya selepas memilih menyertai JDT pada pusingan kedua Liga Super 2017.

“Saya gembira dan pada pendapat saya, tiada satu pun pemain di Malaysia tidak mahu bermain untuk JDT. Saya bertuah berpeluang menyertai sebuah pasukan yang kuat.

“Namun saya mempunyai tanggungjawab besar bersama JDT dan berharap dapat meningkatkan lagi nama pasukan ini kerana kami mempunyai matlamat yang sama iaitu memenangi kejuaraan," katanya pada sidang media di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards dan ketua jurulatih, Benjamin Mora.

“JDT adalah keluarga baru saya. Jadi saya perlu menyesuaikan diri untuk berada dalam keluarga ini dan ahli keluarga yang lain dapat menerima kehadiran saya sebagai seorang daripada mereka," katanya.

Ghaddar akan menyarung jersi nombor 22 yang sebelum ini digunakan Gabriel Guerra manakala Guerra pula memakai jersi nombor 10 yang sebelum ini dipakai Brian Ferreira.

Bekas pemain Kelantan itu juga mahu membantu JDT menjaringkan lebih banyak gol, selain berjanji memastikan pasukan meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.

“Saya pemain profesional, perlu buktikan kepada diri dan penyokong, sekali gus menyesuaikan diri dengan semua yang ada di sini. Saya tidak fikir ia sukar.

“Tiada perbezaan besar ketika bermain di Kelantan dan kini bersama JDT. Apa yang penting berikan apa yang jurulatih mahu daripada saya," katanya yang dijangka diturunkan menentang PKNS FC di gelanggang lawan pada 24 Mei ini.

Beliau juga percaya semuanya berada dalam keadaan yang baik di bawah pengurusan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan mahu membalas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Disiarkan pada: May 18, 2017 @ 10:18pm
d