arena

Tumpu gelaran Serie A

Oleh AFP

Rome: Jurulatih Massimiliano Allegri mengarahkan anak buahnya di Juventus supaya melupakan seketika soal pertemuan dengan Real Madrid di final Liga Juara-Juara bulan depan sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha menjulang gelaran Serie A serta satu lagi pertandingan domestik, minggu ini.

Selepas hanya berjaya menjulang Liga Juara-Juara dua kali sepanjang lapan percubaan, kelab gergasi Turin itu mahu menebus kekalahan 1-3 di tangan Barcelona pada final 2015 dan kali ini mereka akan menentang juara 11 kali, Real Madrid di Cardiff, 3 Jun nanti.

Juventus semakin hampir untuk menjulang liga buat kali ketiga berturut-turut serta gelaran juara berganda menerusi kemenangan 2-0 ke atas Lazio hasil jaringan Dani Alves dan Leonardo Bonucci di Stadio Olimpico.

Tetapi kekalahan Juve di Roma minggu lalu mengakibatkan anak buah Allegri itu perlu menunggu hingga perlawanan terakhir sebelum boleh diangkat selaku juara Serie A musim ini.

Bagaimanapun, jika melihat kepada lawan Juve iaitu Crotone, peluang untuk mereka muncul juara tetap cerah.

Tetapi prestasi Calabrians sejak kebelakangan ini dilihat agak meningkat - mereka mengumpul lebih satu mata di atas Empoli dan zon penyingkiran.

“Kami sudah memenangi trofi pertama musim ini dan kini kami mahu yang kedua,” kata Allegri selepas menyaksikan Juventus muncul kelab Itali pertama yang memenangi Piala Itali buat kali ketiga berturut-turut, dua daripadanya diperoleh pada era beliau.

“Kini, kami mahu yang kedua dan ia akan hadir jika kami menang ke atas Crotone. Ia perlawanan yang sukar tetapi jika kami bermain dengan aksi sama seperti malam ini (menentang Lazio) sudah tentu kami berpeluang.”

Jika gagal menang ke atas Crotone, Juventus masih tetap berpeluang untuk muncul juara apabila bertandang ke Bologna, minggu depan manakala Roma melayan kunjungan Genoa dan Napoli menentang Sampdoria.

Allegri berkata: “Kami hanya perlukan satu lagi kemenangan daripada dua aksi. Kalau boleh kami mahu melakukannya Ahad ini.

“Saya mahu melihat stadium kami dipenuhi kegembiraan kerana ia satu pemandangan yang indah.”

Roma yang ketinggalan empat mata berbanding Juventus, bertandang ke Chievo dan mereka akan kembali menerima khidmat pemain tengah Belanda Kevin Strootman serta penggempur Edin Dzeko.

Napoli yang menduduki tangga ketiga, melayan kunjungan Fiorentina.

Disiarkan pada: May 20, 2017 @ 3:14am
d