arena

Sasar 46s

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pelari 400 meter Muhammad Azam Masri mahu memberi lebih fokus terhadap acara kegemarannya berbanding dalam acara pecut 100m.

Malah dia tidak kecewa sekiranya jurulatih, Mohd Poad Kassim tidak memilihnya untuk beraksi dalam acara 100m itu.

Katanya, negara ketika ini mempunyai ramai pelari berbakat dalam acara 100m yang berpotensi untuk meraih pingat di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Justeru Azam yang berasal dari Melaka itu berkata, lebih baik dia memberi fokus kepada acara 400m.

Namun tegas Azam untuk beraksi dalam 400m juga tidak mudah.

“Sekarang ini ramai pelari yang boleh merekodkan sekitar 47 saat. Saya pula tidak boleh leka biarpun tahun lalu saya sudah melepasi syarat kelayakan Sukan SEA.

“Apa yang penting ketika ini saya perlu kembali konsisten untuk melakarkan masa sekitar 46s iaitu catatan terbaik peribadi saya,” katanya yang baru pulih daripada kecederaan hamstring.

Azam sebelum ini disebut menjadi wakil negara dalam acara 100m di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) apabila merekodkan catatan 10.22 saat (s) di Afrika Selatan.

Namun catatan itu tidak sah selepas penganjur mengatakan terdapat masalah teknikal ketika ia berlangsung.

Rekod peribadi terbaik milik Azam dalam acara 400m adalah 46.90s yang dicatatkan di Kejohanan Olahraga Jemputan Terbuka Filipina tahun lalu.

Pada kejohanan itu, dia meraih pingat perak untuk negara dan hanya ketinggalan 0.01s di belakang pendahulu, Edgardo Alejan dari Filipina.

Dalam acara 4x400m pula, kepantasan terbaiknya adalah 3 minit 10.66s yang dilakukan di Sukan SEA Singapura 2015 bersama gandingan Mohamad Arif Zulhilmi Alet, Mohd Shamimi Azmi dan Dinesh Krishnan. Kuartet itu meraih tempat keempat.

Disiarkan pada: May 20, 2017 @ 3:57am
d