arena

Bola Shebby: Mampukah Ghaddar jadi Figueroa baru?

Oleh Serbegeth Singh

Adakah Mohammed Mahmoud Ghaddar akan menjadi Luciano Figueroa baru Johor Darul Ta’zim (Johor DT)? Kita sedia tahu betapa sumbangan pemain Argentina itu sebagai pemain paling pengaruh di atas serta luar padang. Komitmen serta profesionalisme yang menjadi contoh untuk pemain, peminat serta pengurusan.

Atau adakah Ghaddar akan menjadi Paolo Rangel baru Johor DT? Kita sedia tahu betapa mundur pemain Brazil itu kerana sudah mencapai cita-cita serta impian mewakili pasukan Johor DT. Tidak menghairankan apabila Rangel dibuang ke JDT II kerana sudah mencapai segala-galanya.

Menyarung jersi Johor DT hadir dengan harapan serta tanggapan tinggi dan setiap pemain harus menyedari keperluan ini.

Sejarah serta latar belakang Ghaddar sudah menjanjikan komitmen serta tekad tinggi.

Kebolehan serta kelincahan pemain ini tidak boleh di nafikan dan adalah tepat sekiranya Johor DT bangkit menyedari tonggak penyerang amat diperlukan sekiranya ingin menguasai Piala AFC sekali lagi walaupun Ghaddar hanya akan didaftar selepas Pusingan 16.

Kita sedia lihat Johor DT tumpul sewaktu menentang Gamba Osaka di peringkat Kelayakan ACL pada awal Februari lalu.

Itulah tahap yang harus dituju sebagai sukatan pembangunan pasukan serta kelab.

Pasukan Johor DT masih menjadi pilihan mara ke final Zon Asia Tenggara walaupun menang tipis ke atas Ceres Negros. Kita berharap pemain Johor DT akan bersemangat baru dan menentukan Ghaddar tidak terlepas peluang membawa pasukan ini ke tahap lebih tinggi. Kehadiran Ghaddar boleh mencerahkan peluang untuk mengulangi kejayaan 2015.

Mungkin juga sudah tiba masanya untuk pasukan di Malaysia menumpukan perhatian persembahan pemain sayap dari Singapura - Faris Ramli. Pemain ini harus di pertimbangkan sebagai calon pemain AFC dalam Liga Malaysia. Persembahan Faris pada kempen Piala AFC ketika mewakili Home United sudah meletak pemain ini di persimpangan karier.

Penyerang sayap ini sudah melampaui tahap permainan di Singapura dan dia harus mengambil keputusan untuk berpindah. Kita masih ingat Faris menerangi bola sepak Malaysia bersama LionsXI dan pemain ini makin matang di peringkat Piala AFC.

Kelincahan pemain Singapura ini boleh menyaksikannya beraksi di kedua-dua sayap mahupun sebagai `attacking midfielder’ dari bahagian tengah. Keupayaan menggelecek menjadi senjata unik dan Faris kini memerlukan cabaran lebih tinggi. Berusia 24 tahun, Faris tidak boleh berpuas hati dengan menjadi jaguh kampung.

Pemain ini harus mencontohi Hariss Harun dan memburu kejayaan di tahap lebih tinggi di masa depan walaupun berpeluang cerah membimbing Home United ke final Zon Asia Tenggara selepas mencapai keputusan seri di Cebu menentang Global FC.

Setiap perlawanan yang membabitkan pasukan juara Thailand Muangthong United dalam kejohanan terunggul di Asia, Liga Juara-Juara Asia (ACL) maka menjadi ujian kewibawaan Chanatip Songkrasin. Pemain tengah lincah ini bakal mewakili Consadole Sapporo di Liga Jepun.

Pemain attacking mid- fielder ini sekali lagi akan diuji kelab Jepun, Kawasaki Frontale di Pusingan 16 di peringkat kalah mati timbal balik pada pertengahan minggu akan datang. Kali ini pula Chanatip akan menghadapi tekanan berlainan kerana pusingan kalah mati adalah unik.

Perlawanan pertama di Thailand akan menjadi medan untuk Chanatip berusaha mencari kemenangan ke atas salah satu pasukan yang belum tewas dalam kempen 2017 ini.

Kita masih ingat Safiq Rahim dalam kempen Piala AFC 2015 serta 2016 apabila dia menyerlah tanpa mengambil kira sokongan rakan sepasukan.

Justeru, kita berharap Faris boleh mengikut jejak Chanatip dan menjadi pemain berpengaruh di Asia Tenggara.

Disiarkan pada: May 20, 2017 @ 4:17am
d