arena

Si cilik jiwa kelajuan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Dunia sukan permotoran sememangnya kini menjadi fenomena baru yang semakin digilai kebanyakan anak muda di negara ini.

Maka tidak hairan seorang demi seorang pelumba dari Malaysia berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa seperti Khairul Idham Pawi, Hafizh Syahrin dan Adam Norrodin.

Mungkin 10 tahun dari sekarang, dua nama baru bakal menghangatkan suasana arena permotoran negara dengan pelumba adik-beradik Haris Fahim dan Adam Arman Sulaiman semakin gah mencipta nama terutama dalam perlumbaan mini bike.

Haris yang baru menginjak usia sembilan tahun mengakui, langsung tidak takut untuk memecut laju di litar setiap kali mengikuti perlumbaan.

“Perasaan takut langsung tak ada, sebaliknya saya rasa lagi nak bawa laju termasuk ketika mengambil selekoh. Saya tak takut jatuh malah lebih bersemangat untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama,” kata abang sulung kepada Adam itu.

Menceritakan pembabitan awalnya dalam sukan permotoran itu, Haris secara berterus terang memberitahu minatnya mulai tumbuh sejak berusia empat tahun.

“Sejak kecil ayah sering dedahkan saya dan adik (Adam) dengan basikal. Dari situ kami dibawa pula mencuba mini bike dan timbul keinginan untuk mencuba sukan yang dianggap penuh cabaran dan semangat berani tinggi.

“Ayah tidak pernah menghalang kami dan ini banyak merangsang kami untuk terus maju dalam sukan ini,” katanya yang pernah menjuarai perlumbaan SMR Litar Klang dalam kategori beginner (bawah 10 tahun).

Mengulas mengenai soal pelajarannya, Haris mengakui bapanya amat mementingkan soal pelajaran dengan dia perlu menyiapkan terlebih dulu segala kerja sekolah sebelum boleh turun berlatih di litar.

“Ayah takkan izinkan saya dan adik pergi berlatih atau berlumba jika kerja sekolah tak siap. Jadi saya akan sentiasa pastikan segala kerja sekolah dapat diselesaikan awal.

“Malah, jika saya ketinggalan atau tidak memahami sesuatu subjek, saya mendapat tunjuk ajar guru yang akan membuat kelas tambahan selain kelas tuisyen,” katanya yang bercita-cita mahu berlumba dalam saingan Grand Prix (GP) dunia suatu hari nanti.

Bagi Adam pula, dia menyifatkan pembabitan pada usia muda mampu memberi kelebihan buat mana-mana pelumba yang menyertai cabaran sukan pemotoran.

“Masih banyak kemahiran skil menunggang yang perlu dipelajari untuk menjadi pelumba terbaik. Setiap kali berada di trek, saya akan cuba memperbaiki segala kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Tahun ini saja, saya berdepan dengan asam garam perlumbaan sebenar. Ada menang, ada mengecewakan. Saya juga seperti abang yang mula berlumba pada usia empat tahun.

“Dari situ, timbul minat dan akhirnya saya semakin selesa memecut motosikal di trek. Saya sangat suka memecut di selekoh dan selalunya saya akan memotong pelumba lain di selekoh,” katanya yang berusia enam tahun.

Disiarkan pada: May 21, 2017 @ 6:43am
d