arena

Terengganu perlu kerja lebih keras pertahan kejuaraan

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak FELDA Wilayah (PBFW) Terengganu mengakui perlu berkerja lebih keras pada saingan Piala Pengerusi FELDA sekiranya mahu mempertahankan kejuaraan yang diraih tahun lalu.

Terengganu kendalian Mohd Sharul Abdul Rahman menang dua daripada tiga perlawanan yang diharungi dalam Kumpulan A dengan PBFW Sahabat dari Sabah menjadi mangsa mereka minggu lalu apabila menang besar 6-2.

“Ini sememangnya kemenangan yang dicari-cari. Saya gembira dengan persembahan yang dipamerkan pemain bagi memastikan kemenangan kedua sebelum liga berehat sempena Ramadan,” jelasnya.

Terengganu selesa mendahului 3-0 pada babak kedua sebelum menggandakan jaringan disusuli dua jaringan lawan yang cuba mengurangkan jurang gol.

“Saya sudah menemui kesebelasan terbaik selepas tiga perlawanan. Saya akan mengekalkan mereka untuk baki dua perlawanan peringkat kumpulan bagi memburu tiket ke separuh akhir,” ujarnya.

Tempoh rehat hingga Julai ini akan dimanfaatkan Sharul apabila merancang untuk mengadakan sesi latihan dan aksi persahabatan yang kompetitif bagi memantapkan lagi persembahan pasukan.

Piala Pengerusi FELDA 2017 menyaksikan saingan 12 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan berlangsung secara liga satu pusingan.

Disiarkan pada: May 22, 2017 @ 10:40am
d