arena

Uji ketahanan fizikal

Oleh Ayusliza Azizan

Puncak Alam: Lebih 1,200 penunggang basikal tempatan dan antarabangsa menyertai cabaran New Straits Times (NST) C-Cycle 2017 di Eco Grandeur dengan kerjasama Eco World Development Group Berhad di sini semalam.

Acara berbasikal itu bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dan menyediakan platform tambahan untuk meningkatkan minat dalam kalangan rakyat Malaysia dalam aktiviti berbasikal.

Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Datuk Abdul Jalil Hamid (gambar) berkata, program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelumba termasuk luar negara seperti dari Norway, Jerman, Amerika Syarikat, Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Ini kali pertama NST menganjurkan acara seperti ini dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

“Selain kategori 35 kilometer fun-ride, acara ini juga untuk penunggang basikal yang ingin mencabar keupayaan fizikal dan mental mereka dengan mendaftar bagi kategori perjalanan abad, membabitkan perlumbaan sejauh 160 kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melepaskan acara lumba basikal berkenaan.

Hadir sama Pengerusi Eco World Foundation Tan Sri Lee Lam Thye serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Development Group Berhad Datuk Chang Kim Wah.

Abdul Jalil berkata, berbasikal juga satu kaedah untuk mengurangkan berat badan, bersosial serta mengendurkan tekanan.

Selain itu, beliau berkata, sebagai penganjur, pihaknya mahu meningkatkan kedudukan sebagai jenama yang melengkapi dan menyokong sukan gaya hidup terkini di samping mengeratkan lagi hubungan antara pembaca dan rakan niaga.

Sementara itu, Kim Wah berkata, pihaknya gembira dan teruja kerana berpeluang bekerjasama dengan NST untuk cabaran C-Cycle 2017.

Menurutnya, aktiviti berbasikal semakin mendapat momentum kerana ia membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di samping mengurangkan pencemaran serta menggalakkan gaya hidup sihat.

“Dalam kawasan perbandaran ini, kami membina laluan basikal khusus untuk menggalakkan masyarakat kita ke arah gaya hidup lebih sihat.

“Kami juga menyediakan skim basikal untuk disewa dan ia boleh didapati di projek Eco Botanik Iskandar Malaysia, manakala di setiap kejiranan Eco Sanctuary di Lembah Klang,” katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2017 @ 10:41am
d