arena

Perak perlu konsisten

Oleh Rodly Fadly

Kuala Lumpur: Perak mesti menamatkan aksi yoyo sebaliknya perlu menunjukkan prestasi konsisten bermula perlawanan menentang Sarawak di Stadium Perak esok, jika mahu menjadi pencabar Liga Super.

Pemain sayap Zaquan Adha Radzak (kanan) berkata, persembahan tidak menentu skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu sepanjang pusingan pertama lalu menyebabkan mereka hanya mampu menduduki tangga kelima walaupun berkemampuan melakukan lebih baik.

“Masalah kami adalah gagal beraksi secara konsisten. Ada ketika kami bermain dengan baik tapi pada masa lain sebaliknya pula.

“Jadi, jika benar-benar mahu mencapai impian muncul sekurang-kurangnya tiga terbaik, Perak tidak boleh lagi bermain begitu. Ini kerana saingan pusingan kedua dijangka lebih mencabar dengan kebanyakan pasukan membuat rombakan semasa musim perpindahan pemain,” katanya.

Menurut Zaquan, The Bos Gaurus memiliki barisan pemain berpengalaman serta berkemampuan. Malah, pertukaran jurulatih bila mana Durakovic mengambil alih tugas daripada Karl-Heinz Weigang juga tidak sedikit pun menjejaskan pasukan itu.

“Pada saya kami hanya perlu bermain secara konsisten kerana semua ramuan yang perlu dimiliki sudah ada dalam pasukan ini.

“Peringatan ini bukan untuk rakan sahaja tapi juga untuk diri saya sendiri. Secara jujur, saya tidak berpuas hati dengan prestasi sendiri kerana belum mampu memberikan yang terbaik kepada pasukan sejak menyertai pasukan ini.”

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 11:37am
d