arena

Vet Rugading UMNO unggul

Tuaran: Pasukan Gabungan Vet Rugading UMNO menjuarai kejohanan bola sepak Piala Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor selepas menewaskan Tenghilan Vet UPKO 2-1 pada perlawanan akhir di padang Kampung Selupuh, di sini, baru-baru ini.

Sebanyak 13 pasukan dari sekitar daerah ini mengambil bahagian untuk memeriahkan kejohanan yang berlangsung sejak awal Februari lalu.

Ketua pasukan Gabungan Vet Rugading UMNO, Masran Kuba, menerima piala kejuaraan itu daripada Pengerusi Biro Latihan dan Sukan merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Abdul Kassim Razali yang mewakili Hajiji.

Beliau berkata, kejohanan itu bertujuan memastikan ahli UMNO serta parti komponen di daerah ini terutama mereka yang sudah meningkat usia mengamalkan gaya hidup sihat.

“Untuk berjaya dalam hidup, kita bukan hanya memerlukan kekuatan mental, malah perlu memiliki badan sihat,” katanya pada majlis penutupan kejohanan itu.

Sehubungan itu, Abdul Kassim mengucapkan terima kasih kepada Hajiji yang juga Ketua UMNO Tuaran kerana sudi menyumbang piala untuk menjayakan pertandingan itu selain sentiasa memberi nasihat dan sokongan moral terhadap kejohanan berkenaan.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 11:43am
d