arena

Rockafutsal gegar Bangi

Oleh Mohd Badlishah Mohd Ali

Bangi: Padat dengan aksi bertenaga dapat digambarkan pada Kejohanan Rockafutsal 5 kategori B-15 dan B-17 di Uptown Sports Bangi, baru-baru ini.

Kejohanan anjuran Futsalista Event & Management menggamit penyertaan 120 pasukan dari Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Melaka dan Terengganu.

Program dirasmikan Pengasas Futsalista dan Rockafutsal, Nor Izwan Azida Norazmi dan mendapat sokongan Andalas De Futsal, Kartallar Impiana, Pan Malaysia & Awardingly, Arena Futsal Malaysia, Super Bobai Cup dan Malayan Tiger & Tempatan Fest.

Juara kategori B-15 menjadi milik Premier FC selepas mengalahkan CF Putra Jr 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi sebenar.

Putra MB turut mencipta nama selaku juara apabila menewaskan Aziman FT 3-2 juga menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam kategori B-17.

Juara B-15 dan B-17 masing-masing menerima RM1,000, piala pusingan serta pingat manakala naib juara menerima RM500 serta pingat dan tempat ketiga bersama menerima RM200.

“Saya anjur Rockafutsal ini bukan saja untuk menganjurkan kejohanan futsal semata-mata tapi adalah untuk mendidik pemain futsal di peringkat akar umbi. Mereka akan memeriahkan acara sukan futsal dan bakal menjadi pemain futsal berkaliber suatu hari nanti,” kata Nor Izwan.

Rockafutsal 6 akan berlangsung di Real Sports Arena, Klang, hujung minggu ini.

Yuran penyertaan sebanyak RM100. Juara menerima wang tunai RM1,000, piala, pingat manakala naib juara menerima RM500, pingat dan ketiga/keempat masing-masing menerima RM200. Maklumat lanjut hubungi 018-9776541.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 11:55am
d