arena

Zverev kejutkan Djokovic, juarai Masters pertama

Rome: Bintang Jerman Alexander Zverev (gambar) mengejutkan juara Rome empat kali Novak Djokovic 6-4, 6-3 sekali gus menjuarai gelaran Masters pertama semalam, mengesahkan statusnya sebagai pemain yang perlu diawasi pada Terbuka Perancis.

Zverev, 20, menjulang gelaran Masters 1000 selepas muncul pemain termuda dalam tempoh sedekad untuk mara ke final dan akan melonjak ke ranking ke-10 dunia hasil kemenangan menakjubkan itu.

Biarpun meraih kemenangan straight set ke atas pemain Austria Dominic Thiem kelmarin, Djokovic pemain nombor dua dunia mempamerkan aksi pincang di gelanggang yang menyaksikannya menyumpah beberapa kali apabila buntu mencari jalan untuk kembali bangkit dalam perlawanan itu.

Zverev kini mengumpul empat gelaran, tiga daripadanya dicatat tahun ini manakala Djokovic yang menyambut ulang tahun ke-30 hari ini, gagal mencatat gelaran Masters ke-31.

“Menentang Novak, salah seorang pemain terbaik pernah saya temui dan ia satu penghormatan bermain dengan anda,” kata Zverev, pemain pertama dilahirkan pada 1990-an menjulang gelaran Masters.

“Anda seorang pemain yang menakjubkan. Malangnya minggu ini anda tidak menang tapi saya pasti ketika kita semakin menghampiri Paris, anda akan menjadi pemain pilihan menjulang gelaran itu.” - AFP

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 11:59am
d