arena

Prestasi Barca tak konsisten

Barcelona: Jurulatih Barcelona Luis Enrique tidak berpuas hati dengan aksi pasukannya yang tidak konsisten selepas gagal mempertahankan gelaran La Liga semalam.

Barca bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Eibar 4-2 pada perlawanan terakhir kendalian Enrique di laman sendiri tetapi Real Madrid memintas kelab Catalunya itu dengan tiga mata di puncak liga hasil kemenangan 2-0 ke atas Malaga.

“Tidak syak lagi, kami tidak konsisten,” kata Enrique apabila ditanya mengapa Barca terlepas gelaran itu.

“Kami mensia-siakan perlawanan yang tidak pernah berlaku pada tahun sebelumnya. Akhirnya kami menerima padah.”

Barca menang semua enam perlawanan terakhir termasuk kemenangan 3-2 ke atas Madrid bulan lalu.

Bagaimanapun mereka dikejutkan dengan kekalahan kepada Celta Vigo, Deportivo la Coruna dan Malaga, begitu juga kepada Alaves pada awal kempen.

“Pasukan mencapai pelbagai kejayaan musim ini tapi garisan yang memisahkan kemenangan daripada kegagalan terlalu tipis.

“Saya harap kami akan terus memenangi gelaran tapi ada pencabar yang mahukan perkara sama dan berada setaraf dengan kami. ” - AFP

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 12:37pm
d