arena

Lang Merah ikrar bebas rasuah

Oleh Izzali Ismail

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) menjadi persatuan bola sepak kelima di negara ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai komitmen untuk memastikan skuad bola sepak Liga Super Kedah bebas daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Upacara itu disempurnakan semua pemain dan pengurusan skuad Lang Merah pada majlis khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar, Kedah hari ini.

Ketua Pasukan kedah, Khairul Helmi Johari mengetuai barisan 41 pemain dan pengurusan KFA melafazkan IBR dengan disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil serta Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Aminuddin Omar.

Aminuddin menegaskan inisiatif KFA menandatangani IBR penting untuk membuktikan komitmen skuad Liga Super Kedah dalam memastikan pemain dan pengurusan bebas rasuah.

"Kita tandatangani IBR bukan bermakna kita dibelenggu rasuah; sebaliknya setiap seorang daripada kita merasakan lebih bertanggungjawab untuk memikul amanah yang diberikan penyokong skuad Lang Merah untuk melihat aksi terbaik setiap kali turun ke padang.

"IBR bersama skuad Liga Super ini adalah yang pertama dan selepas ini kita jangkakan untuk lakukan perkara sama dengan skuad lain di bawah KFA termasuk Piala Presiden pula... apa yang penting, kita nak bersihkan nama kita daripada sebarang persepsi dan anggapan negatif," katanya berucap pada majlis itu.

Hadir sama Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad dan Ketua Jurulatih Kedah yang baharu Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

Sementara itu, Shamshun Baharin mengakui risiko untuk amalan rasuah cukup luas dalam bola sepak terutama dengan pembabitan 'bookie' yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk beroperasi khususnya dalam soal mengatur perlawanan.

"Rasuah dalam bola sepak ini bukan di Malaysia sahaja, bahkan di luar negara pun sama... bookie akan cari peluang untuk bertaruh sampaikan siapa yang jaring gol dahulu atau siapa dapat sepakan penjuru dahulu pun mereka boleh bertaruh.

"Bagi SPRM kita akan pastikan pemahaman pemain mengenai rasuah dalam bola sepak akan dipertingkatkan, malah usaha KFA menandatangani IBR ini wajar dipuji kerana ia sebahagian daripada aspek pencegahan," katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pemain supaya memberi kerjasama terutama melaporkan kepada SPRM sekiranya didampingi 'bookie' atau mengetahui mana-mana rakan yang terbabit dengan amalan mengatur perlawanan.

"Kadang-kadang pemain ni tak sedar mereka didampingi bookie...ada yang ajak pergi karaoke sekadar suka-suka dan beri hadiah RM300 dan sebagainya.... ini sebenarnya bibit-bibit permulaan rasuah den selepas terjebak dan terperangkap, mereka tidak boleh lari lagi," katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 11:57pm
d